Tips dapatkan harga barang lebih murah Mungkin ramai kurang sedar harga barang keperluan di pasar basah kadang kala lebih tinggi berbanding pasar raya besar. - Foto Sinar Harian
 

RAMAI yang mengeluh dan bimbang dengan kenaikan harga pelbagai jenis barang dan keperluan harian, terutama selepas pengumuman kenaikan tarif elektrik pada 1 Januari 2014 dan penarikan semula subsidi petrol tahun lalu.

Kebanyakan isi rumah di negara ini risau sekiranya perbelanjaan mereka tidak mencukupi dan wang simpanan pula susut akibat kenaikan kos sara hidup.

Akibatnya, ramai menuding jari ke arah pihak lain, terutama kerajaan yang dikatakan menjadi punca kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini.

Tetapi benarkah harga barang di semua kedai, pasar dan pasar raya besar dinaikkan?

Sebenarnya, harga barangan keperluan sama seperti sebuah permainan, anda hanya memerlukan strategi yang betul untuk mendapatkan barangan pada harga terendah.

Isu harga barang mahal boleh diatasi jika pengguna peka dan bijak membuat perbandingan harga antara premis supaya tidak mudah ditipu oleh peniaga yang mengutamakan keuntungan sahaja.

Ini kerana dakwaan bahawa harga barangan di semua tempat adalah mahal tidak benar sama sekali.

Tinjauan penulis mendapati masih ada premis perniagaan termasuk pasar raya besar menawarkan harga murah berbanding harga di pasar basah.

Harga barangan keperluan harian seperti ayam, daging, ikan, bawang dan sayur-sayuran berbeza mengikut kategori premis perniagaan di seluruh negara.

Berdasarkan senarai harga barangan yang dikeluarkan di portal www.1pengguna.com setiap hari, contohnya, harga ayam bersih standard dijual antara RM5.98 dan RM9.90 sekilogram di pasar raya manakala ayam hidup antara RM6.40 hingga RM7.20 sekilogram di semua pasar basah.

Contoh lain ialah di Selangor, ikan cencaru bersaiz sederhana dijual antara RM6 dan RM12.90 sekilogram di pasar basah manakala di pasar raya dijual pada harga antara RM5.99 sehingga RM10.59 sekilogram.

Jadi ini bermakna terdapat banyak pilihan harga untuk pengguna. Adakah kita telah membuat tinjauan dan membandingkan harga barang di lokasi berbeza berdekatan rumah masing-masing sebelum membeli?

Atau kita hanya memilih membeli di kedai paling dekat dengan rumah jadi apabila kedai itu menaikkan harga barangan, kita juga terpaksa membayar mahal sedangkan mungkin ada pasar raya lain berdekatan yang menjual dengan harga lebih murah.

Harga berbeza ikut hari

Selain lokasi, waktu pembelian juga memainkan peranan dalam penentuan harga barang. Tinjauan penulis mendapati beberapa pasar raya menjalankan pelbagai promosi mengikut hari dan cuba mengekalkan harga murah walaupun berlakunya peningkatan kos sejak kebelakangan ini.

Ada pasar raya besar yang mengenakan harga berbeza terhadap barangan tertentu antaranya susu formula dan lampin pakai buang pada hari biasa dan hari minggu.

Selain menyemak di portal www.1pengguna.com, pengguna juga boleh menyemak di laman sesawang pasar raya itu sendiri untuk mengetahui promosi yang diadakan supaya penjimatan boleh dilakukan.

Isu utama di sini adalah pengguna perlu peka supaya tidak terpedaya dengan karenah peniaga yang menaikkan harga barang untuk mengaut untung atas angin.

Gunakan sepenuhnya perkhidmatan semakan harga barang di pasaran setiap hari yang disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi merancang perbelanjaan harian.

Selain memeriksa harga, pengguna boleh mengemukakan aduan sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang menaikkan harga barang secara mendadak dan tidak mengikut harga yang ditetapkan menerusi portal itu.