SHAH ALAM – Cuaca kering yang melanda seluruh negara bersifat sementara dan dijangka berakhir pertengahan bulan depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail berkata, fenomena ini disebabkan negara berada dalam fasa pertengahan Monsun Timur Laut.
“Keadaan ini menyebabkan lebih banyak hari kering berbanding hari hujan. Di Semenanjung Malaysia, cuacanya lebih kering berbanding Sabah dan Sarawak.
“Bagaimanapun, cuaca kering ini masih berada dalam julat normal dengan suhu maksimum 32 hingga 35 darjah Celcius,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, keadaan cuaca panas seperti itu adalah normal menjelang pertengahan bulan hadapan dan ia lebih rendah berbanding suhu yang dicatat pada 1997.
“Situasi ini berlaku setiap tahun dan negara pernah mengalami cuaca kering yang lebih teruk daripada ini pada 1997 ketika fenomena El-Nino. Selepas pertengahan Mac, suhu akan mula lembap,” katanya.
Menurutnya, cuaca kering tanpa hujan ini turut memberi kesan besar kepada penurunan paras air di empangan.
Oleh itu, katanya, proses pembenihan awan dijangka dilakukan di kawasan berdekatan empangan atau kawasan tadahan hujan pada 26 dan 27 Februari ini.
“Pemantauan telah dilakukan dari sekarang untuk mengenal pasti hari yang mempunyai banyak awan. Tujuan pembenihan awan dilakukan bagi meningkatkan kadar hujan dan menambah kapasiti air empangan.
“Bagaimanapun, kejayaan proses itu tetap bergantung kepada keadaan awan, sama ada ia banyak atau tidak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan