HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Februari 2014

Sultan disaran turut sama solat Istisqa’

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Sultan sebagai ketua agama negeri disaran turut sama bersolat Istisqa’ (solat minta hujan) sebagai ikhtiar memohon ke hadrat Allah SWT semoga diturunkan hujan sekaligus mengakhiri musim kemarau dan panas yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sekarang.

Saranan itu dibuat penulis veteran yang juga bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Subky Latif (gambar) di laman Facebook beliau.

Subky turut menyarankan alim ulama di negeri-negeri beraja supaya memohon perkenan Sultan agar turut bersama rakyat dalam solat Istisqa’.

Beliau memberikan contoh yang berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz apabila seorang Arab Badwi yang terkejut dengan hasil tanamannya yang berlipat kali ganda yakin bahawa kemakmuran yang dianugerahi Allah SWT itu disebabkan oleh khalifah baru yang bersifat adil.

“Seorang Badwi dapati hasil tanamannya bertambah. Katanya mesti khalifah baru yang memerintah. Dia sangka saja. Rupanya betul, yang memerintah Umar Abdul Aziz. Badwi itu tidak tahu. Bila khalifah peduli, makmurlah negeri,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, solat Istisqa’ akan diadakan di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah esok bermula jam 9.30 pagi.

Solat Istisqa’ juga akan diadakan pada pagi yang sama di dataran Stadium MPS berhadapan Restoran Tu Dia Pak Tam, Bandar Baru Selayang dan Padang Komuniti Kampung  Sungai Kantan, Kajang.

Pada Ahad, 2 Mac, solat Istisqa’ akan diadakan di tempat letak kereta Central Puteri Park (PCP), Bandar Tasik Puteri, Rawang bermula jam 8.00 pagi. Khutbah akan disampaikan Imam Madrasah As-Siddiqin,  Ustaz Mohamad Zuhdi Mat Piah.

Tiada ulasan: