HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Februari 2014

Aktivis: Kos sara hidup tinggi undang masalah sosial

HARAKAHDAILY 


KUCHING: Beban kos sara hidup yang tinggi masa kini boleh menyumbang kepada meningkatnya masalah sosial di kalangan mereka yang berpendapatan rendah, kata seorang aktivis masyarakat.
  
Wan Zain Syed Mohdzar berkata, beban kenaikan kos sara hidup itu amat dirasai golongan ini apatah lagi kalau hidup di bandar dengan setiap keperluan perlu dibeli.
  
Beliau yang juga pengerusi Persatuan Perundingan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) cawangan Sarawak berkata, keadaan itu akan menyebabkan ibu bapa terdesak untuk mencari pendapatan sampingan dan bekerja lebih masa dengan meninggalkan anak-anak sesama sendiri di rumah atau di bawah jagaan orang lain.
  
“Ini menyebabkan masa berkualiti bersama keluarga semakin hilang dan akan melahirkan anak-anak yang terabai dan ketandusan kasih sayang sehingga akhirnya mewujudkan generasi muda yang sarat dengan gejala sosial,” katanya kepada Bernama.
    
Beliau berkata, dengan tekanan hidup dan kurangnya pengetahuan agama ia juga boleh mengundang kepada tindakan pecah amanah, penyelewengan, rasuah dan pelbagai lagi perlakuan yang menyalahi syariat dan undang-undang.
  
Wan Zain berpendapat impak peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barangan perlu diteliti secara menyeluruh dan bukan hanya dipandang dari sudut jumlah kenaikannya sahaja.
  
Katanya, ini kerana kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit kerana kuasa beli dan pendapatan mereka semakin berkurangan.
  
"Contohnya, barang-barang keperluan dapur semakin meningkat dianggarkan dalam lingkungan 30 hingga 50 peratus daripada harga sebelumnya.
  
"Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini hanya cukup-cukup makan," jelas Wan Zain.
  
Oleh itu, katanya, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah tertentu membendung kenaikan ini dengan menggalakkan orang ramai berbelanja secara berhemah. - Bernama

Tiada ulasan: