Dr Alias Razak Dr Alias


KUALA TERENGGANU – Persepsi orang ramai bahawa pembangkang mahu menggulingkan kerajaan sedia ada perlu diperbetulkan.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Terengganu, Dr Alias Razak berkata, pakatan pembangkang atau PR tidak sesekali berhasrat berbuat demikian sebaliknya hanya mahu memastikan peralihan kerajaan berdasarkan sistem demokrasi melalui proses pilihan raya.

Beliau menegaskan, tiada rampasan kuasa yang akan dilaksanakan pembangkang sebaliknya pihaknya berhasrat menukar kerajaan BN kepada PR dan peralihan itu perkara biasa yang telah pun berlaku di negara demokrasi lain.

“Kita bukan hendak menjatuhkan kerajaan tetapi mahu menukar kerajaan. Tiada rampasan kuasa dibuat  melainkan melalui pilihan raya.

"Kita juga bukan mahu gulingkan kerajaan tetapi hendak jatuhkan Umno dan BN sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai salah faham beberapa pihak sehingga ada yang melihat tindakan pembangkang sebelum ini termasuk demonstrasi jalanan sebagai satu bentuk menggulingkan kerajaan sedia ada.

Alias yang juga Adun Bukit Tunggal berkata, jika pembangkang berjaya menjatuhkan BN, kerajaan yang diambil alih tetap kerajaan sama.

“Kita mahu jatuhkan Umno dan BN. Kerajaan tetap sama iaitu kerajaan Malaysia. Perkara ini kena perbetulkan, kena perbetulkan persepsi rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, setelah sekian lama BN mentadbir negara, banyak kelemahan yang dikenal pasti dan isu yang tidak dapat diselesaikan pihak yang terlibat.

Jelasnya, pentadbiran di negara ini yang tidak pernah bertukar ganti sejak lebih 50 tahun lalu telah menyebabkan pelbagai perkara berlaku sehingga mendatangkan ketidakpuasan hati kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan rakyat melalui perubahan pada pilihan raya umum akan datang untuk memastikan pentadbiran kerajaan yang lebih baik.

“Kalau tukar Umno bermakna tukar kerajaan. Banyak perkara yang positif akan berlaku,” katanya.