Dua
anggota polis masing-masing berpangkat penolong penguasa dan inspektor
dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas tuduhan rasuah dua
tahun lepas.
Shuib Abdl Samad @ Zainul, 51, yang bertugas sebagai penolong penguasa
Polis di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Kuala Kangsar menghadapi tiga pertuduhan melibatkan rasuah
berjumlah RM1,100.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Madihah Hairullah.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta RM500 secara bulanan
daripada Tan Tiong An untuk mengelak daripada gangguan terhadap kerja
nombor ekor haram yang dijalankan oleh Tan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Dila Tomyam, No 5,
Gerai MPKK Medan Selera, Stesen Keretapi, Jalan Raja Idris, Kuala
Kangsar pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 5 Julai 2012.
Bagi pertuduhan kedua Shuib didakwa bersetuju untuk menerima RM300
secara bulanan daripada Tan untuk tujuan yang sama pada tempat dan
tarikh yang sama.
Shuib juga menghadapi tuduhan menerima suapan RM300 daripada Tan dengan
tiada balasan berikutan Tan telah ditahan pada 12 Jun 2012 kerana
disyaki sebagai penagih dadah.
Dia didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah bagi dua pertuduhan dan satu lagi di bawah Kanun Keseksaaan.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, Hilmi Suaib, 44, yang turut
bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kuala Kangsar,
menghadapi dua pertuduhan rasuah melibatkan RM2,500.
Dia didakwa meminta RM1,500 daripada Tan untuk tidak memasukkan Tan dalam lokap kerana disyaki sebagai penagih dadah.
Hilmi didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik KPL Detektif Narkotik,
Pejabat Detektif, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Kangsar
pada pukul 12.30 tengah hari, 12 Jun 2012 dan dituduh di bawah) Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Tertuduh turut didakwa bersetuju menerima RM1,000 daripada Tan untuk tujuan yang sama pada tempat dan waktu yang sama.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya A. Hafiizh Abu Bakar
dan sebutan semula bagi semua kes ditetapkan pada 27 Mac.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan