HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Februari 2014

Banjir: Gamis Sabah turun padang hulur bantuan



HARAKAHDAILY 


KOTA KINABALU: Sejak 19 Febuari lalu sehingga semalam (23 Feb), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Sabah memberikan bantuan berupa barangan keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir di tiga buah daerah iaitu Beaufort, Tenom dan Pensiangan.

Dalam misi itu, seramai 30 mahasiswa terlibat daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah turun padang menjayakan misi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

“Sumbangan berupa makanan dan keperluan harian adalah hasil kutipan derma yang diadakan baru-baru ini di Gaya Street Kota Kinabalu,” ujar Presidennya, Mohd Fathihie Daimin.

Katanya, misi bantuan yang dilancarkan oleh Gamis Sabah pada 19 dan 20 Feb di Tenom melibatkan Kg Bunut dan Kg Maka Punti, di Pensiangan melibatkan Kg Membulu pada 20 Feb, pada 22 dan 23 Feb di Kg Mempulut dengan penyampaian sumbangan berupa keperluan makanan kepada 50 buah keluarga yang terlibat banjir.

Beliau memberitahu, antara aktiviti yang dijalankan ialah mengadakan baktisiswa bersama masyarakat, pembersihan rumah, bersama badan bukan kerajaan di samping menyambut saudara baru.

Selain itu, pihak Gamis Sabah turut mengadakan penyelidikan berkenaan punca berlakunya banjir.

Hasilnya, kata beliau mahasiswa mendapati punca utama berlakunya banjir adalah aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

Tambahnya, aktiviti pembalakan tidak terkawal mengakibatkan kawasan tadahan air dikawasan tinggi musnah dan menyebabkan air terus mengalir ke kawasan lebih rendah.

Kesannya, kata beliau kenaikan paras air secara mendadak berlaku dan mengakibatkan banjir di beberapa tempat berdekatan kerana terdapat lebih 30 buah kampung terlibat dalam insiden banjir baru-baru ini.

“Dalam pada itu, pihak Gamis Sabah mengingatkan kepada pihak bertanggungjawab khususnya Jabatan Hutan dan agensi-agensi terlibat, agar memandang serius punca banjir ini berlaku,” katanya.

Katanya lagi, pemantauan ke atas aktiviti pembalakan dari semasa ke semasa perlu ditingkatkan dan seharusnya menepati garis panduan yang telah ditetapkan.

Pihak Gamis Sabah juga, ujarnya menggesa tindakan tegas diambil ke atas sebarang tindakan pembalakan secara haram dan tidak menepati garis panduan yang ditetapkan.

“Pihak Gamis Sabah turut merakamkan jutaan penghargaan kepada para penderma sumbangan kepada mangsa banjir,” katanya.

Tiada ulasan: