HALAMAN SANTAI
Isnin, 24 Februari 2014
Kassim Ahmad hanya bersama Dr Mahathir kali ini
Sebut apa sahaja pertubuhan Islam sekalipun, sama ada yang pro Barisan Nasional atau pro Pakatan Rakyat, semua menolak pemikiran Kassim Ahmad kali ini.
Turut menyertai penolakan ini adalah mufti dan badan agama kerajaan termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Bahkan, pertubuhan Islam seperti Isma yang selama ini selalu sahaja mempunyai pandangan berbeza dan pro Umno juga menolak Kassim.
Namun, Isma meringankan serangan terhadap Kassim dengan mengaitkan juga tokoh-tokoh lain ketika menyerang Kassim dengan berkata apa bezanya mereka ini dengan Kassim.
Ia termasuk Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar yang pernah sedekah surah al-Fatihah kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia.
Isma juga menyerang Khalid Ismath yang pernah menyindir bahawa Nabi Muhammad melakukan israk dari rumahnya dan menyindir bahawa Ustaz Harun Taib adalah seorang nabi.
Isma juga marah kepada Ahmad Farouq Musa dan Fuad Rahmat dari IRF. Mereka secara halus mempromosikan penafsiran Al-Quran secara hermenutika.
Isma juga menyerang Zainah Anwar daripada Sister in Islam kerana beliau pernah menolak hudud secara terang-terangan.
Namun, kumpulan Islam lain memberikan fokus sepenuhnya kepada sikap Kassim yang disokong pula oleh pihak yang berpengaruh dalam Umno iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
PAS dan Abim serta beberapa NGO lagi berpadu tenaga dalam perhimpunan membantah Kassim.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri bangun menentang kenyataan Kassim.
Jawi mengadakan siasatan khas bagi menyiasat laporan mengenai kenyataan Kassim yang dikatakan anti hadis itu.
Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang menyiasat kes tersebut dan mengenalpasti saksi yang menghadiri seminar bertajuk, "The Thoughts of Kassim Ahmad: A Review" yang dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana.
"Saya menasihatkan orang awam, terutamanya masyarakat Islam untuk percaya kepada pihak berkuasa dalam menangani isu ini. Dinasihati juga supaya berhenti melakukan apa-apa provokasi bagi mengelak gangguan harmoni dalam negara," kata Paimuzi dipetik daripada agensi berita nasional, Bernama.
Mungkin kerana takut terpalit dengan Kassim inilah, menteri Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim juga menjauhkan Umno daripada Kassim.
Beliau mendesak agar pihak berkuasa agama bertindak segera terhadap Kassim.
Pendek kata Kassim hanya berdua dengan Dr Mahathir kali ini. Namun, apakah akan ada tindakan tegas untuk menghentikan Kassim.
Belum tentu, kerana Dr Mahathir sudah cukup untuk membela Kassim.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan