HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Februari 2014

Tujuh Wilayah Bakal Alami Tekanan Air Rendah, Putus Bekalan - Syabas

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.2 juta pengguna dari 300,000 isu rumah di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mula mengalami kesan terputus bekalan air atau tekanan rendah, ekoran pengurangan pengeluaran air terawat oleh lima loji rawatan air (LRA) atas arahan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upen), Rabu.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Priscilla Alfred berkata ia melibatkan tujuh wilayah sekitar Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

"Rezab bekalan air sedia ada yang sangat kecil dan dalam keadaan biasa sudah tidak mampu untuk menampung paras permintaan pengguna kerana kelima-lima loji rawatan air tersebut membekalkan 60 peratus daripada keperluan air terawat bagi kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) iaitu pihak yang bertanggungjawab terhadap sumber air mentah kerajaan Selangor telah mengeluarkan surat arahan pada 24 Feb lepas kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) yang mengurus tiga loji berkenaan agar mengurangkan pengambilan air mentah sebanyak 200 juta liter sehari (JLH) dari Sungai Selangor.

Loji terbabit ialah LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 3 dan LRA Sungai Rasa manakala LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Rantau Panjang diurus Puncak Niaga (M) Sdn Bhd.

Pada masa sama, ekoran arahan yang dikeluarkan oleh Luas dan Upen ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) telah mengarahkan Syabas menyediakan pelan pengagihan bekalan air berjadual bagi pengguna yang terlibat untuk dibentangkan kepada Span, Khamis.

"Jika pelan pengagihan bekalan air berjadual ini diluluskan Span, ia akan diumumkan kepada pengguna secara bersama oleh pihak Span dan Syabas pada 28 Feb ini untuk dilaksanakan mulai Ahad, 2 Mac 2014," kata Priscilla.

Syabas turut berharap pengguna yang terlibat dapat memahami situasi sebenar yang berlaku dan mengambil langkah untuk mengurangkan kesan yang bakal dialami.

Sementara itu, bagi pengguna yang tidak terlibat, mereka disaran menggunakan air secara berhemah dan mengelak pembaziran kerana setiap penjimatan boleh disalurkan kepada kawasan yang terlibat dengan gangguan. - BERNAMA

Tiada ulasan: