Secara tiba-tiba isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor mengeluh tentang masanya yang kini telah diambil oleh rakyat sehingga tidak mempunyai kesempatan lagi untuk melayan hobinya sendiri, terutama bermain badminton yang menjadi kegemarannya sebelum ini.
Berucap dalam satu majlis semalam, beliau berkata, "semua telah diambil rakyat, termasuk masa dan hobi saya. Saya sampai tiada masa untuk bermain badminton sekarang. Saya hanya luangkan masa untuk rakyat".
Ucapan Rosmah ini agak menghairankan kerana siapa yang menyuruhnya sibuk-sibuk atau menyibukkan diri menjaga rakyat. Tiada siapa yang memintanya berbuat demikian, bahkan beliau tidak dibayar gaji pun untuk menjaga rakyat. Beliau bukanlah wakil rakyat, menteri atau seumpamanya.
Beliau hanyalah isteri seorang Perdana Menteri yang perlu menyokong kerjaya dan menemani suaminya dalam program-program tertentu yang memerlukan kehadirannya. Tetapi ketika Najib ke pejabat, tidak perlulah beliau ke pejabat sama. Tiada siapa yang marah jika ketika Najib ke pejabat, beliau hanya berehat di rumah dan tidak berjumpa rakyat.
Sebagai isteri Perdana Menteri atau bahasa canggihnya, First Lady, bagaimanapun beliau bolehlah mengaktifkan dirinya dalam program-program ringan seperti yang biasa dilakukan oleh mana-mana isteri pemimpin lain di dunia ini. Isteri Presiden Amerika, Michelle Obama misalnya sering terlibat dalam program-program santai seperti bersama kanak-kanak, wanita, menghadiri program kebajikan, pertunjukan fesyen amal dan sebagainya.
Jika ditambah dengan program Permata pun, Rosmah sebenarnya tidaklah sesibuk mana. Tapi kenapa semua masanya diambil oleh rakyat sampai tiada masa bermain badminton? Adakah Najib menderanya untuk melakukan kerja-kerja bertemu rakyat?
Rosmah sebenarnya tidak perlu mengeluh kerana tiada siapa mewajibkannya melayan rakyat daripada pagi sampai petang dan kemudian bersambung hingga ke malam. Kerja melayan rakyat adalah kerja suaminya, menteri-menteri adan wakil rakyat yang sudah dibayar gaji oleh kerajaan.
Tetapi jika beliau melakukannya kerana suka-suka atau ingin membantu Najib, berpada-padalah. Curilah masa untuk hobi sendiri seperti membeli-belah, bertemu kawan-kawan atau bermain badminton dan janganlah sampai terlebih sibuk daripada wakil rakyat, menteri atau pegawai di Jabatan Perdana Menteri sendiri yang memang dibayar gaji untuk kerja demikian.
Ada seorang bekas pegawai Najib yang ketika berkhidmat dulu menjadikan setiap hari Khamisnya untuk beliau bermain golf bersama kawan-kawannya. Di hujung minggu tertentu pula, pegawai terbabit juga masih mempunyai masa bermain golf sehingga ke Indonesia dan Thailand sedangkan beliau lebih dikehendaki membantu bossnya melayan rakyat.
Jika pegawai Najib sendiri yang memang dibayar gaji untuk sebahagiannya ialah melayan rakyat masih mempunyai banyak masa melayan hobi golfnya, agak menghairankan juga bagaimana Rosmah sampai tiada masa untuk bermain badminton.
Lagi pun, baru beberapa hari lalu ketika menyampaikan sumbangan air mineral di Cheras, Rosmah mengelak ketika didekati wartawan dengan alasan beliau hanyalah suri rumah dan bukannya ahli politik.
Kalau hanya suri rumah, kenapa sampai sibuk sangat sehingga tiada luang waktu untuk bermain badminton?
Ternampak ada kecelaruan di sini, sekejap suri rumah dan sekejap yang lain sebagai penjaga rakyat paling sibuk. Kalau hanya suri rumah sebagaimana yang diakuinya, disitulah sebenarnya kepuasan dan pahala untuknya. Sebagai suri rumah tetapi menyibukkan diri mahu menjaga rakyat sama, belum tentu dapat pahala, apatah lagi jika mengabaikan suami dan mengeluh kemudiannya.
Bagaimanapun mungkinlah tugasnya sibuk dengan rakyat dan menemui pelbagai kelompok manusia sekarang ini berikutan suasana politik tidak lagi stabil, bahkan yang mendesak suaminya berundur pun makin ramai. Selain pihak pembangkang dan yang terbaru, Hindraf pula bersuara dengan desakan yang serupa, bekas Perdana Menteri, Mahathir serta Daim Zainuddin pula sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengganggunya.
Mungkinlah semua ini yang mengganggu Rosmah untuk meluang masa daripada hobi badmintonnya. Alahai, kesiannya...
Namun, jika Rosmah terlampau ingin melangsaikan hobinya yang banyak tertangguh selama ini, beliau bolehlah juga meminta suaminya agar berundur dengan segera. Kemudian berbadmintonlah dengan sepuasnya. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan