HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Februari 2014

'Ancaman itik' & cat pada media dikecam

MALAYSIAKINI


 
 
 
Gerakan Media Marah (GERAMM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab melempar cat merah pada bangunan portal berita bebas Malaysiakini serta mengikat kaki seekor itik yang dimasukkan ke dalam sebuah kotak di luar pejabat itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi hari ini dipercayai merupakan satu ancaman kepada Malaysiakini susulan beberapa laporan berkaitan kejadian seumpamanya, melibatkan cat merah dan bangkai ayam, yang berlaku di pejabat Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Gambar Kok turut dilekatkan pada kotak yang mengandungi seekor itik, yang pada awalnya disangka bangkai tetapi kemudian disahkan masih hidup.

Dua keping gambar hitam putih Kok turut ditampal di dinding luar pejabat Malaysiakini. Gambar-gambar ini diletakkan dalam plastik bersama sejumlah kecil beras dan jarum berwarna merah.

Tindakan semberono sebegini bukan saja melibatkan kerosakan harta benda tetapi juga menyeksa seekor binatang yang dijadikan mangsa dalam serangan cat merah ini.

Lebih khusus dan membimbangkan lagi, ia berbaur ancaman kepada kebebasan sebuah organisasi media yang terkenal itu.

GERAMM ingin menegaskan adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak cuba mengancam pengamal media atau menggambarkan laporan seperti Malaysiakini hasilkan sebagai satu bentuk sokongan terhadap sesuatu pihak atau ahli politik secara individu.

Kes Tamil Malar & BERSIH 3.0

Malaysiakini, malah, dalam isu video kontroversi Kok memberi liputan kepada semua pihak, bukan sahaja pihak DAP tetapi penentang-penentang tindakan ahli parlimen DAP itu.

GERAMM menggesa semua organisasi media supaya tidak tunduk kepada sebarang bentuk serangan atau ancaman dari mana-mana pihak, selaras dengan lapan tuntutan kami sebelum ini.

GERAMM berharap pihak berwajib akan segera menyiasat dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Bukan sahaja siasat serangan di Malaysiakini hari tetapi juga keganasan-keganasan lain terhadap pengamal media.

Pada 29 Januari lalu, tiga lelaki bersenjatakan parang dan batang besi telah memecah pejabat sebuah akhbar harian Tamil, Tamil Malar, di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Dalam serangan itu, mereka memecah pintu kaca, meja kaca dan lima buah komputer di tingkat bahagian pengurusan pejabat berkenaan

GERAMM juga terus mendesak, sekali lagi, siasatan rapi dibuat terhadap serangan ke atas pengamal-pengamal media sewaktu liputan perhimpunan BERSIH 3.0 pada April 2012 yang belum selesai.


GERAKAN MEDIA MARAH (GERAMM) perkumpulan longgar wartawan bagi menuntut kebebasan media di Malaysia.

Tiada ulasan: