HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Februari 2014

Mahu masuk Sarawak, kena tanya Imigresen dulu



AHMAD DANIAL 


KUCHING: PAS Sarawak kesal dengan sikap berdolak-dalik Jabatan Imigresen yang tidak konsisten dalam keputusannya berkaitan penahanan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman.

Ketua Penerangannya, Andri Zulkarnaen Hamden berkata sebelum Mazlan datang ke Sarawak pada 22 Februari, mereka telah dimaklumkan bahawa larangan ke atas Mazlan untuk datang ke Sarawak telah ditarik balik.

"Sebelum Mazlan terbang ke Sarawak pada 22 Feb lalu, kami diberitahu secara lisan bahawa larangan untuk beliau masuk ke Sarawak telah dibatalkan maknanya beliau boleh masuk bila-bila masa sahaja.

"Tetapi bila beliau sampai ke Lapangan Terbang Sibu pada 22 Februari lalu beliau ditahan atas alasan arahan dari Pejabat Ketua Menteri, mana satu yang betul ini," ujar Andri.

Ekoran itu, Andri dan ahli PAS, Mohd Tarmizi Mohd Yahaya mengadakan pertemuan dengan Jabatan Imigresen Sarawak bagi membincangkan isu penahanan Mazlan di pejabat jabatan tersebut di sini semalam.

"Dalam pertemuan tersebut Jabatan Imigresen Sarawak membuat penegasan bahawa parti-parti politik dan NGO mestilah menulis surat bagi mendapatkan maklumat rasmi tentang senarai mereka yang dihalang dari memasuki Sarawak.

"Selepas ini kami akan menurut apa yang dinyatakan oleh Jabatan Imigresen bagi memudahkan kami menjalankan aktivtiti yang melibatkan pimpinan-pimpinan dari luar Sarawak," tambah Andri.

Menurutnya, peristiwa penahanan Mazlan itu tidak sepatutnya berlaku kerana tiada bukti menunjukkan bahawa beliau boleh mengancam keselamatan rakyat Sarawak seperti alasan yang dinyatakan oleh pihak berkenaan.

PAS Sarawak, katanya kesal dengan kejadian itu kerana ia berlaku buat kali kedua selepas peristiwa penahanan Mazlan pada Julai 2011.

"Sekali lagi kami ingin tegaskan kekesalan kami dengan tindakan Jabatan Imigresen yang jelas tunduk kepada tekanan politik dalam menjalankan tugas mereka.

"Kami menuntut supaya jabatan-jabatan kerajaan menjalankan tugas dengan profesional, telus dan adil kepada rakyat dan jangan cenderung kepada mana-mana pihak," tegas Andri.

Pada 22 Februari lalu, Mohd Tarmizi telah membuat laporan tentang penahanan Mazlan di Balai Polis Sibu Jaya.

Tiada ulasan: