HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Februari 2014

Politik hari ini, masing-masing takut kepada kebenaran




Anwar berkata, Mahathir sudah berusia 88 tahun tetapi bila mendengar namanya Mahathir merasa takut. Anwar menambah dengan bertanya kenapa Mahathir takut pada beliau? Beliau menjawab sendiri kepada pertanyaannya itu. “sebab anaknya adalah diantara 10 orang terkaya dinegara ini” Jawab Anwar sendiri.

Anwar menambah yang Daim Zainudin yang selama ini sudah lena tidur apabila terdengar berita beliau akan bertanding di Kajang, Daim bingkas bangun dan bekerja keras untuk mengalahkan beliau (Anwar) di Kajang.

Itulah diantara apa yang diperkatakan oleh Anwar dalam siri pertemuan beliau dengan pengundi Kajang. Persoalannya sekarang, benarkah Mahathir takut dengan Anwar, atau Anwar yang takut, maka terpaksa bertanding untuk menambah benteng pertahanan beliau untuk menghadapi masa depan yang tidak berkesudahan, pergaduhan diantara mereka yang sudah berusia ini. ATAU kedua-duanya sama-sama takut dengan musuh masing-masing?

Betul kah Mahathir takut? Jika benar takut, kenapa begitu? Mahathir berkata beliau adalah pemimpin terbaik negara pernah ada. Kalau sudah menjadi yang terbaik kenapa takut? Tetapi sekali fikir mungkin apa yang diperkatakan oleh Anwar itu ada kebenarannya.

Mungkin Anwar maksudkan yang Mahathir telah menggunakan kedudukan beliau untuk memperkayakan anak-anak beliau sehinggakan salah seorangnya sudah menjadi salah seorang diantara 10 orang yang terkaya dinegara ini. Saya pun berpendapat begitu.

Mahathir telah menggunakan kedudukannya untuk memperkayakan keluarganya dan menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan Mirzan Mahathir yang gagal pada 1996 dahulu.

Tetapi seperti yang diperkatakan oleh Mahathir juga betul, kerana Anwar terlibat memberikan wang rakyat kepada Mirzan kerana kedudukan beliau dalam kabinet dahulu adalah kedudukan yang boleh menahan atau mengelakkan dari tindakan Mahathir memberikan wang rakyat kepada anaknya itu..

Sebagai ahli kepada Jemaah Kabinet semasa itu, adalah bersama-sama bertanggungjawab dengan isu itu. Malahan bukan sahaja Anwar yang bersalah kerana bersekongkol dengan tindakan buruk itu, tetapi seluruh ahli Kabinet semasa itu. Itulah apa yang dikatakan ‘responsibility dan accountability’ seseorang ahli Kabinet itu.

Dalam isu ini saya berpendapat Zaid Ibrahim lebih ber ‘accountability’ dari Anwar, kerana apabila kerajaan menahan seorang ahli media di bawah ISA dahulu beliau meletakkan jawatan dan meninggalkan kabinet kerana tidak bersetuju dengan keputusan kabinet itu. Zaid tidak mahu bersama bertanggungjawab terhadap keputusan yang beliau (Zaid) anggap sebagai tidak baik itu.

Di situ Zaid Ibrahim telah menunjukkan kredibiliti sebagai  saorang  pemimpin yang tidak sanggup dilakukan oleh Anwar semasa berada dalam kabinet Dr Mahathir. Anwar merelakan wang rakyat digunakan oleh salah seorang ahli kabinet yang beliau berada bersamanya.

Saya menyebut ini kerana Anwar berkata yang Dr Mahathir amat takut kepada beliau. Begitu juga Daim.

Hakikatnya bukan sahaja Dr Mahathir dan Daim yang takut kepada Anwar malahan ramai yang lain sangat takut dengan tindakan Anwar ini kerana ia boleh menghancurkan ‘fabric’ politik negara dengan melakukan apa sahaja yang beliau suka asalkan sahaja beliau berada dalam ‘parameter’ kuasa walaupun sedikit.

Ramai juga yang takut jika Anwar mendapat kuasa, keadaan tidak akan berubah juga malahan lebih teruk lagi keadaannya. Jika keadaan bertambah buruk, jika Anwar mendapat kuasa ia merupakan ‘misadventure’ politik rakyat yang amat mahal harganya. Rakyat takut jika Anwar berkuasa, ia akan menghasilkan apa yang dirasakan oleh rakyat semasa berdoa untuk kedatangan Jepun ke negara kita untuk menjajah dahulu dengan harapan harga barangan akan lebih murah berbanding dengan pentadbiran British.

Akhirnya barangan betul-betul murah kerana rakyat Malaya semasa itu hanya makan ubi kayu sampai banyak yang bengkak kaki kerana makan rebus ubi yang terlalu banyak.

Kita tidak boleh memberikan keyakinan kepada pelakon politik kerana risikonya amat tinggi. P Ramlee, dalam filem-filemnya banyak kali berlakon sebagai seorang yang kaya raya dan ramai yang termakan dengan lakonan beliau yang beliau itu sebetulnya seorang yang kaya. Tetapi sebenarnya P Ramlee hanyalah seorang hamba seni dan beliau adalah seorang biasa yang boleh dianggap miskin.

Lakonan Anwar sebagai seorang pemimpin besar dunia telah banyak mempengaruhi orang ramai dan ada yang beranggapan beliau adalah seorang yang sangat hebat, tetapi semua akan tahu yang semua lakonannya itu akan berakhir dan orang ramai akan tahu setakat mana kehebatannya suatu ketika nanti.

Jika beliau menganggap Dr Mahathir takut kepada beliau, kita baru sahaja mendengar yang Zaid Ibrahim pun beranggapan yang Anwar takut kepada beliau kerana menolak jemputan beliau (Zaid) untuk berbahas. Sesungguhnya masing-masing ada takut dengan sesaorang atau kumpulan dalam politik yang tidak menentu ini.

Politik hari ini kita boleh merumuskan yang semua pihak ‘takut kebenaran tetapi berani kepada kesalahan’. Sekarang tidak ada dikalangan yang menjadi perhiasan media setiap hari itu ‘berani kerana benar dan takut kerana salah’. Masing-masing takut kepada kebenaran tentang kesalahan masing-masing

Yang ramai adalah mereka yang takut kepada yang benar dan berani kepada yang salah…’you scratch my back, I scratch yours’.

Tiada ulasan: