HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Februari 2014

Siswa kecewa UMS arah kosong premis

KEADILAN DAILY

 
 
 
Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan kecewa dengan pihak pentadbiran kampus yang mengeluarkan notis mengarahkan mereka mengosongkan premis perniagaan yang dikendalikan sejak enam tahun lalu.

Mereka yang berniaga atas nama Sekretariat Masjid Al Hikmah membantah keputusan itu kerana ia dilakukan tanpa sebarang perbincangan dengan pihak pentadbiran universiti.

Pengerusi Lajnah Pembangunan dan Ekonomi sekretariat itu, Rahimah Mansur berkata mereka bertegas tidak akan mengosongkan premis itu walaupun diarahkan berbuat demikian dalam tempoh 14 hari mulai semalam seperti yang dinyatakan dalam notis terbaru itu.

Notis yang dikeluarkan oleh pengarah UMS itu menyebut antara lain kegagalan mematuhi arahan itu memboleh pihak universiti mengeluarkan barang dalam premis itu dan tidak bertanggungjawab dengan kerosakan dan kehilangannya.

"Kami kecewa dan membantah arahan itu sebab mereka (pihak pentadbiran) arahkan kita keluar tanpa perbincangan dengan pihak kedai dan pihak atasan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Mengulas lanjut, Rahimah berkata sebelum ini bahagian hal ehwal pelajar pernah memaklumkan secara lisan pada 21 dan 24 Februari mengarahkan sekretariat itu mengosongkan premis itu.

Bagaimanapun, katanya, peniaga baru yang akan memulakan perniagaan barangan sukan tidak hadir pada tarikh itu menyebabkan kampus memberi tempoh sehingga 27 Februari untuk berbuat demikian.

Tetap tegas pendirian

Sementara itu, Pengarah Kampus Profesor Ismail Ali tetap bertegas dengan pendirian mahu sekretariat itu mengosongkan premis dalam 14 hari.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, beliau berkata tindakan itu diambil kerana perniagaan yang mereka kendalikan tidak didaftarkan dengan pihak universiti.

"Universiti tidak pernah menganiaya pelajar. Kita mahu perniagaan mereka sah (berdaftar) dengan pihak universiti tapi mereka ini menguruskan kewangan perniagaan mereka sendiri. Ini masalahnya.

"Jadi kita bertegas dengan notis bertulis dua minggu yang telah kita tampal semalam supaya mereka kosongkan premis itu dalam masa 14 hari," katanya.

Bahkan, katanya, pihak pentadbir mahu menyusun semula organisasi perniagaan dengan meletakkan kedai sekreteriat masjid yang menjual barangan terpakai diletakkan bawah Sekolah Perniagaan Kewangan Antarabangsa Labuan (SPKAL).

Menurutnya, masih ada dua lot kedai lagi yang diperuntukkan untuk pelajar walaupun satu lot kedai itu telah disewakan kepada peniaga luar.

Tiada ulasan: