HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Februari 2014

PKR Dedah Zaid Pernah Lobi Projek Selangor




 
Rafizi


PETALING JAYA: Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, kempen memburukkan pihak lawan mula dilihat apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan Datuk Zaid Ibrahim pernah melobi untuk mendapatkan projek kerajaan Selangor.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, ketika Zaid menjadi pemimpin parti itu, beliau menggunakan kedudukannya dalam politik bagi mendapatkan dua projek yang diusahakan pihak berkepentingan dengannya.

Dakwa Mohd Rafizi, ketika menjawat jawatan Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, beliau pernah didatangi sendiri oleh Zaid yang meminta agar pihaknya campur tangan dalam dua projek tersebut.

Malah menerusi rantaian emel antara Mohd Rafizi dan Zaid yang didedahkan kepada media, dinyatakan bahawa bekas pimpinan PKR itu berminat terhadap projek melibatkan tanah seluas 26 ekar di Batu, Selayang dan tanah PT70 dan PT71 iaitu dua lot tanah premium di Petaling Jaya.

Bagaimanapun tegas Mohd Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, pihaknya menolak permintaan Zaid atas alasan tindakan berkenaan tidak menepati prosedur khususnya penglibatan pimpinan parti politik melobi atau mempengaruhi keputusan kerajaan negeri.

"Jelaslah bahawa kelantangan Datuk Zaid mengenai ketelusan, integriti dan budaya politik bebas rasuah hanyalah lantang dengan suara tetapi tidak dicerminkan dengan tindakan beliau.

"Ini soal kredibiliti sebenar beliau, sebelum beliau mencabar orang lain...jawab isu ini dahulu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Pendedahan ini berikutan tindakan Zaid sebelum ini yang membuat tuduhan yang mempersoalkan ketelusan, integriti dan budaya politik yang dibawa PKR.

Malah Zaid turut pernah mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinamakan PKR sebagai calon parti itu di DUN Kajang untuk berdebat atas alasan ketelusan dan integriti.

Tiada ulasan: