HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Februari 2014

DAP: Gantung hukuman guru anti-PBS

MALAYSIAKINI


 
 
 
Kerajaan patut membatalkan tindakan tatatertib terhadap aktivis penentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ekoran penggantungan pelaksanaan sistem penilaian itu, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, hukuman terhadap Pengerusi Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) Mohd Nor Izzat Mohd Johari tidak wajar, “jahat dan pengecut untuk menghalang kritikan munasabah dalam perkhidmatan pendidikan.

“Timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberi perhatian peribadi beliau untuk memastikan semua tindakan tatatertib terhadap Nor Izzat dan guru-guru yang mengkritik PBS dibatalkan serta-merta,” kata Lim (kiri).

Nor Izzat, guru Pendidikan Seni Visual di Jerantut yang menganjurkan himpunan menentang PBS kelmarin mendakwa ditukarkan tempat bertugas serta-merta "tanpa sebab munasabah".

Dalam kenyataannya hari ini, Lim juga berkata, PBS menjadikan guru seperti kerani pencatat data dan memaksa mereka bangun pada jam 2 hingga 3 pagi untuk memasukkan markah pelajar, ekoran masalah Internet.

“Masalah ini sepatutnya menjadi pengajaran berharga dalam usaha untuk mengubah sistem pendidikan negara,” katanya.

Lim juga menuntut Muhyiddin memberi laporan penuh kepada Parlimen bulan depan berkenaan masalah pelaksanaan sistem itu.

Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan, guru tidak perlu meneruskan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat dalam masa terdekat.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya akan memaklumkan kajian semula berkaitan PBS setelah Muhyiddin berpuas hati dengan penambahbaikan dicadangkan.

Tiada ulasan: