Chew Mei Fun PRK Chew Mei Fun


SHAH ALAM- "Sejarah telah membuktikan bahawa calon wanita boleh menang di Dun Kajang, ini terbukti dengan kemenangan calon wanita di Dun tersebut sebelum ini," demikian menurut penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohd Fuad Mad Jali.

Sehubungan itu katanya, tidak mustahil calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun mampu mengembalikan kegemilangan BN di kerusi berkenaan.

Fuad yang merupakan pensyarah Sains Sosial (Geo-Politik) itu berkata, berbanding calon lelaki, calon wanita seolah-olah mampu 'mencairkan' pesaingnya sehingga mati akal untuk membuat serangan, di tambah dengan rasa ihsan lelaki terhadap wanita.

"Saya rasa Chew Mei Fun mampu memberi tamparan terhadap Anwar.

"Ini kerana sebelum ini calon wanita pernah menang di kerusi tersebut, di samping 'track record' Mei Fun yang bersih sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian Online.

Untuk rekod, kerusi Dun Kajang pernah disandang oleh Datin Paduka Low Lee Leng dari MCA sebelum ditewaskan Lee Kim Sin dari PKR pada PRU12.

Menurut Fuad lagi, calon wanita punya kelebihan kerana ia sukar "disentuh" pihak lawan.

"Berbanding calon lelaki, serangan terhadap calon tersebut mudah untuk dibuat kerana banyak isu boleh dijadikan senjata, manakala calon wanita kita kena berhati-hati untuk menyerang kerana banyak perkara yang sensitif tidak boleh disentuh, di samping hati wanita mampu untuk menyentuh hati masyarakat kerana mereka ini penuh dengan nilai kasih sayang, sebab itulah saya rasa Mei Fun mampu membuat kejutan nanti," ujarnya.

Sementara menyentuh mengenai calon Bebas, Datuk Zaid Ibrahim, Fuad yakin kehadiran Zaid hanya menjadi penambah perisa kepada PRK Dun Kajang sahaja.

"Saya rasa Zaid tidak mampu memberi tentangan, PRK Dun Kajang adalah pertembungan BN dan PR bukan untuk parti Bebas," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Dun Kajang akan diadakan pada 23 Mac ini manakala penamaan calon pada 11 Mac.