Sistem
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menyaksikan guru-guru membuat
bantahan Jumaat lepas akan ditangguhkan perlaksanaannya sehingga notis
seterusnya.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, Jabatan
Pelajaran hanya akan memaklumkan keputusan mengenai kajian mengenai PBS
selepas Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan
cadangan untuk memperkemaskannya.
Bagaimanapun beliau tidak meletakkan sebarang batas waktu berapa lama kajian itu akan memakan masa.
Perubahan itu akan mengambilkira perolehan terakhir, pandangan guru,
bantahan awam termasuk dari Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM), kata
Khair dalam kenyataannya malam ini.
"Kementerian telah mengambil inisiatif untuk mengkaji semula
pelaksanaan PBS untuk
mengurangkan bebanan kerja guru yang memfokuskan
kekerapan memasukkan data, termasuk memasukkan penilaian pencapaian kad
laporan pelajar yang dikatakan membebankan," Bernama melaporkan malam
ini.
Katanya “taskforce” yang ditubuhkan oleh kementerian baru-baru ini akan
mengadakan mesyuarat mingguan untuk mengkaji dan menilai perkembangan
memperkemaskan sistem itu.
"Bilik perang PBS juga telah ditubuhkan di peringkat kementerian untuk
mengkaji isu yang berkaitan dengan pelaksanaan PBS secara serta merta
dan berkesan termasuk menyediakan maklumbalas segera," katanya.
Katanya, kementerian juga sedang bekerja untuk memperkemaskan akses
kepada sistem pengurusan PBS untuk memastikan para guru dapat memasuki
sistem komputer itu lebih mudah dan berkesan.
Penerangan PBS ke seluruh negara untuk sekolah rendah dan menengah yang
bermula Isnin lepas juga telah ditangguhkan dahulu untuk mengelakkan
kekeliruan mengenai pelaksanaannya, katanya.
Khair berkata, perolehan dari “workshop” tentang pelaksanaan PBS yang
melibatkan guru dan persatuan guru baru-baru ini akan diumumkan segera.
"Ini untuk memastikan setiap elemen dalam pelaksanaan PBS akan
menyediakan penilaian holistik ke atas pelajar di samping meringankan
bebanan guru dalam pelaksanaannya," katanya.
PBS telah dilaksanakan mulai 2011 bermula dengan pelajar darjah satu.
Pada 2012, kementerian melaksanakan PBS untuk tingkatan satu.
Ia sebahagian dari usaha kerajaan untuk menghasilkan pelajar yang serba boleh bukan yang berjaya dalam peperiksaan semata-mata.
Tidak ada ujian tahunan di bawah PBS.
Setiap hari, guru akan menilai pelajar untuk setiap mata pelajaran
dengan enam-band dari band satu untuk memahami (paling rendah) hingga
band enam "terbaik" (tertinggi).
Kenyataan kementerian ini datang selepas protes yang dibuat oleh SGMM di Bandar Baru Bangi Sabtu lepas tentang PBS.
SGMM mahu PBS dimansuhkan dan sekolah kembali kepada sistem peperiksaan semula.
Ketua SGMM Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, memorandum telah
disiapkan dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.
"Selepas tiga tahun dilaksanakan, PBS telah menyebabkan bebanan sangat tinggi untuk guru-guru hatta pada hari rehat mereka.
"Tugas guru yang utama adalah mengajar, tetapi sejak PBS dilaksanakan,
kerja utama telah menjadi memasukkan data dan tugas pengkeranian bukan
lagi fokus kepada silibus," katanya.
Nor Izzat berkata, guru-guru menghadapi soalan dari ibu bapa tentang
pencapaian anak-anak mereka, tetapi ia sukar untuk dijelaskan.
"Kenapa guru tidak boleh memberikan penjelasan? Mudah saja, hari ini
guru memberitahu ibu bapa tentang satu perkara, tetapi esok matlamat
yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sudah bertukar," katanya.
Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik)
Normala Sudirman mengkritik Kementerian Pendidikan kerana menzalimi guru
yang menentang sistem PBS itu.
"Guru yang berani mengkritik sistem itu telah digantung, dipindahkan beberapa kali dan juga ada yang dipecat," katanya.
"Dalam masa dua minggu lalu, Pendidik menerima kira-kira 100 laporan
dari guru yang telah dikenakan tindakan disiplin oleh Kementerian
Pendidikan."
Normala juga mendakwa ada kes di mana guru dipecat tanpa melalui prosedur yang sewajarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan