HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Februari 2014

Tugasan sukar menanti MCA untuk tawan Kajang




Oleh EILEEN NG


 Hal mengenai MCA kembali menyertai barisan kepimpinan kerajaan sudah selesai, kini parti Cina itu perlu menumpukan perhatiannya kepada pilihan raya kecil di Kajang dan menghidupkan semula nasibnya selepas kalah dalam lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 

 Berada di kedudukan terburuknya sejak pilihan raya umum pada 2008 ketika ditolak oleh pengundi, parti Cina itu sekarang berdepan dengan tugas sukar untuk meyakinkan 39,278 pengundi di kerusi Kajang untuk memberi peluang kepada calonnya, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Lebih menambah kesukaran ialah, parti senior dalam Barisan Nasional (BN) itu terpaksa mengejar pesaingnya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah memulakan langkah bertemu penduduk dalam rangkaian majlis tidak formal dan siri ceramah sejak penghujung bulan lalu apabila kerusi berkenaan kosong berikutan peletakan mengejut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) penggal pertama, Lee Chin Cheh.

Bezanya, Chew diumumkan sebagai calon BN di bandar terkenal dengan sate itu pada Jumaat lalu.

Di sebalik tindakan berani yang dipamerkan pemimpinnya, ramai yang secara peribadi mengakui bahawa ia `terlalu bercita-cita tinggi’ untuk Chew, naib presiden parti, untuk melawan kedudukan Anwar dan sentimen anti BN yang sedang melanda sekarang.

Mereka bagaimanapun, mensasarkan untuk mengurangkan majoriti undi Anwar.

Dalam PRU3, Lee daripada PKR menang bergaya dengan 6,824 majoriti dalam pertembungan enam penjuru, mengalahkan pesaing terdekatnya, Lee Ban Seng daripada BN yang menerima 12, 747 undi manakala calon Berjasa, Mohamad Ismail memperolehi 1,014 undi.

Tiga lagi calon bebas yang bertanding merebut kerusi itu ialah Mohd Iwan Jefrey Abdul Majid (249 undi), Ong Yan Foo (85 undi) dan Mohd Khalid Kassim (83 undi).

“Kita mengharapkan pengundi wanita kerana mereka boleh dikaitkan dengan Chew. Saya menerima banyak panggilan daripada pengundi wanita yang bimbang dan tidak selesa dengan Anwar kerana isu moral,” kata Ketua Biro Aduan MCA Selangor, Kelvin Chong, merujuk kepada kes liwat dan sabitan rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Anwar dipenjarakan enam tahun atas kesalahan rasuah tetapi Mahkamah Tinggi membebaskannya daripada tuduhan liwat pada 2012, dikatakan kerana kekurangan bukti.

Tetapi, arus kini menentang MCA, seperti digambarkan dalam sesi bertemu rakyat untuk memperkenalkan Chew kepada pengundi, baru-baru ini.

Walaupun berkecimpung dalam politik hampir dua dekad, bekas timbalan menteri di Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat serta ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu tidak begitu terkenal di kalangan penduduk Kajang, terutama apabila seorang pengundi dengan jujurnya bertanya kepada presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sama ada calon berusia 50 tahun yang masih bujang itu adalah isterinya.

Tetapi, keadaan itu mungkin disebabkan beliau menyepikan diri selama tiga tahun selepas meletakkan jawatannya dalam kerajaan dan parti pada 2010, selaras dengan janjinya untuk berhenti jika Datuk Seri Chua Soi Lek diundi sebagai presiden.

Chew hanya kembali ke dalam parti pada Disember tahun lalu selepas Dr Chua memilih untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Meskipun hampir mustahil untuk MCA menang kerusi itu, hikmahnya kepada parti ialah mereka boleh menggunakan pilihan raya kecil pada 23 Mac depan sebagai peluang membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mampu mengambil pendirian tegas dalam pelbagai isu.

Pertelingkahan dalaman menyebabkan parti itu lemah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan ketidakupayaan parti itu berdepan dengan Umno, penggerak utama BN menyaksikan MCA hanya memenangi 15 kerusi persekutuan dan 32 kerusi negeri dalam pilihan raya umum 2008.

Ia dijelaskan lagi pada pilihan raya umum Mei tahun lalu, menyebabkan mereka kini hanya mempunyai tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker, berkata “salah faham” yang berlaku disebabkan fokus parti kepada khidmat untuk akar umbi, menyebabkan isu politik dan nasional yang berpihak kepada MCA dan BN agak kurang.

Antara isu yang dibangkitkan rakyat pada masa ini ialah peningkatan kos sara hidup susulan daripada langkah Putrajaya memohong subsidi hingga menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan; jenayah dan keselamatan serta isu tempatan.

“Kita serius dalam tugas tetapi persoalannya ialah mencari pendekatan terbaik untuk menyediakan keperluan, terutama masyarakat golongan pertengahan.

“Rakyat perlu tahu bahawa kita berkhidmat sebagai saluran untuk menyatakan dengan jelas mengenai sesuatu isu bagi pihak mereka. Memandangkan kebanyakan birokrat adalah daripada satu kaum, mereka mungkin kurang pemahaman mengenai isu masyarakat, dan di sini yang kita boleh bantu,” katanya.

Liow memberikan isyarat yang tepat apabila berkata, fokus parti sekarang perlu kepada pilihan raya kecil, bukannya jawatan menteri.

“Kita ada pilihan raya kecil Kajang yang akan datang dan ada banyak isu membabitkan komuniti Cina serta masyarakat setempat yang perlu diselesaikan.

“Jadi, kita akan buat keputusan mengenai jawatan menteri apabila tiba masanya nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Luar Biasa (EGM) MCA semalam.

Buat sementara waktu, parti itu perlu mula bekerja keras. Ada banyak perkara perlu dilakukan pada masa ini sehingga 23 Mac depan .M/Insider

Tiada ulasan: