Seorang
ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Pulau Pinang hari ini dituduh tidak
sensitif terhadap keluarga anggota polis Koperal Raja Aizam Raja Mohd,
yang dipercayai dibunuh selepas satu pergelutan ketika bertugas semalam.
Dalam komennya di Twitter, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani,
Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin (gambar) menulis:
"Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang
sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah."
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim menyifatkan komen
seperti itu tidak wajar dikeluarkan oleh seorang exco kerajaan negeri
dan juga saudara seagama.
"Kita perlu lebih sensitif dalam mengeluarkan kenyataan apabila ia
melibatkan hati dan perasaan seorang wanita yang baru menjadi balu dan
ketiga-tiga anak allahyarham," kata Rafizal dalam satu kenyataan.
"Dr Afif perlu memohon maaf kepada keluarga mangsa, kami amat pasti
keluarga mangsa cukup terguris dengan kenyataan beliau. Janganlah
menambah kedukaan mereka dengan membuat kenyataan sebegini."
Raja Aizam, 53, dan rakan setugasnya Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29,
dipercayai diserang sekumpulan warga asing ketika melakukan rondaan di
Taman Sentosa, Klang, awal pagi semalam.
Raja Aizam yang cedera di kepala meninggal dunia dalam perjalanan ke
Hospital Tengku Ampuan Rahimah, manakala Aidil mengalami kecederaan di
muka.
Sebelum kejadian itu, mereka dipercayai memberhentikan kenderaan polis
untuk memeriksa sekumpulan warga asing di tepi jalan raya.
Rafizal berkata Dr Afif cuba menonjolkan dirinya sebagai "pejuang"
menjelang pemilihan PKR yang akan datang, dalam usaha "bertanding untuk
jawatan yang lebih tinggi" dalam pemilihan Angkatan Pemuda Keadilan
(AMK).
"Malangnya kenyataan yang tidak sensitif langsung tidak perlu digunakan
sebagai platform untuk meraih sokongan menjelang pemilihan AMK dalam
sedikit masa lagi," tambahnya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Sensible, Ethical Malaysian United
Team (Semut) Datuk Huan Cheng Guan berkata, persatuan tersebut akan
menganjurkan orang ramai membuat laporan polis terhadap Dr Afif di Balai
Polis Seberang Jaya esok, kerana menghina polis.
Komen Twritter Dr Afif itu mengundang lebih 100 komen balas. Dr Afif
bagaimana pun terus mengkritik polis dalam komen Twitter menjawab
pengkritiknya.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, Dr Afif berkata beliau tidak
berniat menghina mana-mana pihak dan bersimpati dengan keluarga anggota
polis yang terkorban ketika menjalankan tugas.
"Tweet saya bersifat umum. Saya tidak merujuk kepada insiden tertentu,"
katanya, sambil menambah beliau tidak mengaitkan komennya kepada
kejadian di Klang semalam.
"Apabila saya menghantar tweet tersebut, saya melihat isu itu secara
lebih umum (berkenaan polis). Ia adalah pendapat saya mengenai institusi
polis keseluruhannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan