SEJAK lebih sebulan lalu, penduduk Selangor dihantui masalah kekurangan bekalan air ekoran musim panas dan kering yang melanda negara.
Sebagai langkah memastikan bekalan air mencukupi untuk penduduk Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengumumkan pengagihan air berjadual peringkat kedua yang bermula semalam.
Bukan sedikit penduduk yang terjejas kerana hampir 2.2 juta pengguna atau 431,617 isi rumah di Lembah Klang dan sekitarnya terlibat dengan pelan catuan bekalan air sehingga 31 Mac ini.
Pengerusi SPAN, Datuk Ismail Kasim berkata, langkah itu terpaksa diambil susulan paras empangan Sungai Selangor dan Klang Gate terus mencatatkan penyusutan yang membimbangkan sehingga 53 peratus simpanan aktif.
Meskipun catuan dilakukan secara bergilir-gilir setiap dua hari, sudah cukup untuk mengundang keresahan penduduk di kawasan terlibat.
Bayangkan, betapa sukarnya untuk melakukan aktiviti seharian dengan selesa tanpa air yang dianggap sebagai keperluan paling utama dalam hidup manusia.
Malah, ada yang sudah berdepan krisis air lebih awal seperti penduduk di Balakong yang ‘tidur tak lena, mandi tak basah’ gara-gara ketiadaan air selama tiga minggu.
Masalah air yang membebankan rakyat ini juga berlaku di saat menjelangnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, 23 Mac ini.
Secara tidak langsung, isu air boleh dijadikan modal berkempen oleh parti politik yang bertanding terutama untuk menjuarai isu berkenaan.
Barangkali dalam keadaan itu, rakyat Selangor tiada masa mahu memikirkan soal politik, siapa yang salah siapa yang benar dalam isu air ini.
Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah masalah air yang kian mencengkam dapat diselesaikan segera.
Jika diberikan pilihan, rasanya lebih ramai rakyat yang memilih untuk bersingsing lengan mengangkut air daripada menghadiri ceramah calon di Kajang, apatah lagi hanya untuk mendengar kisah air yang dipolitikkan.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, pemimpin seharusnya lebih peka dengan penderitaan dialami rakyat berbanding memberi tumpuan kepada PRK Dun Kajang.
Katanya, isu air perlu diberikan perhatian serius kerana melibatkan kepentingan rakyat.
“Rakyat mungkin faham, masalah air timbul berikutan musim kemarau dan penurunan paras air empangan. Jadi, kesannya tidak terlalu besar kepada PRK Dun Kajang.
“Bagaimanapun, pemimpin tidak kira pembangkang atau BN jangan asyik menumpukan isu PRK Dun Kajang saja. Sebaliknya, mereka juga perlu memikirkan isu rakyat yang lebih besar seperti masalah air,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mad Jali berkata, rakyat mahukan keharmonian dan perpaduan bukan melihat pemimpin berbalah antara satu sama lain.
“Kita ambil contoh projek Air Langat 2 yang sudah lama ditangguhkan, kini kerajaan negeri Selangor akur dan terima projek itu demi untuk kepentingan rakyat. Kebetulan pula, Selangor sedang mengalami krisis air.
“Jadi kerajaan negeri terutama di bawah PR perlu terus memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan untuk demi rakyat,” katanya.
Agenda PRK Dun Kajang mungkin penting bagi PKR mahupun BN, tetapi dalam masa sama masalah rakyat seperti kekurangan bekalan air perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Setidak-tidaknya, daripada sibuk berkempen isu politik di PRK Dun Kajang, lebih baik sekiranya jentera kempen kedua-dua belah pihak menolong penduduk mengangkut air.
Daripada situ, biar rakyat sendiri menilai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan