HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Mac 2014

Masyarakat digesa gotong-royong bersih rumah atasi wabak denggi

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM: Orang ramai digesa supaya giat menjalankan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan persekitaran rumah selain mengawasi takungan air di kawasan kediaman bagi mengatasi wabak denggi yang semakin serius.

Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari, berkata penyakit demam denggi perlu diatasi secara kolektif dan bukannya sekadar berharap kepada jabatan kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun wakil rakyat semata-mata.

yaakob interview yellow stripe 01Katanya masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan langkah pencegahan awal dapat dilaksanakan apatah lagi Selangor memiliki kepadatan penduduk yang tinggi.

“Pengawasan juga hendaklah diberikan bagi rumah kosong, kawasan pembangunan, rumah tinggal pekerja kontrak dan kawasan hot spot yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Selangor mempunyai 5.6 juta penduduk dan ini merupakan salah satu sebab Selangor mencatat kes denggi tertinggi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Yaakob berkata penyelesaian wabak denggi perlu dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan baru berikutan kaedah semburan asap ternyata tidak lagi berkesan.

Beliau turut bersetuju supaya peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) yang diperuntukkan untuk Dun Kota Anggerik digunakan bagi membaiki longkang di bandar Shah Alam.

“Saya melihat seperti ada toleransi di antara musim panas dan wabak denggi, justeru saya cadangkan supaya perkara ini dilihat dari aspek kejuruteraan seperti longkang-longkang di seluruh Shah Alam.

“Banyak longkang yang telah pecah dipenuhi daun-daun dan saluran, manakala kawasan penangkap pasir menakung air,” katanya lagi.

Sehingga 22 Februari lepas, Selangor mencatatkan 11 kes kematian akibat demam denggi.

Empat daerah utama yang menunjukkan beban kes denggi tertinggi adalah daerah Petaling dengan 2738 kes, Hulu Langat (1784 kes), Gombak (644 kes) dan Klang (775 kes).EZY

Tiada ulasan: