KELAB GREENBOC
Penstrukturan
industri air di Selangor dan Lembah Klang bakal menjadi salah satu dari
projek yang ditanggung dana awam yang terbesar dalam tempoh 10 tahun
akan datang.
Sebagai seorang yang sebelum ini paling lantang mengkritik apabila
perjanjian konsesi dan perjanjian kerajaan dirahsiakan, saya berhadapan
dilemma besar apabila Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat
menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai penstrukturan
air yang isi kandungannya dirahsiakan dari rakyat.
Pada masa yang sama, saya telah mendapat satu
salinan softcopy MOU itu pada hari Khamis 27 Februari 2014. Salinan itu
diperolehi melalui Puan Arfaezah Aziz, Setiausaha Akhbar Menteri Besar.
Melalui beberapa sumber, saya telah mengesahkan bahawa MOU yang
ditandatangani adalah MOU yang sama dengan salinan softcopy yang saya
perolehi.
Oleh itu, atas dasar prinsip ketelusan dan kesedaran (a matter of conscience)
saya telah membuat keputusan untuk mendedahkan MOU ini. Ada beberapa
persoalan besar yang perlu diperjelaskan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim,
Menteri Besar Selangor yang bersabit dengan kepentingan awam.
Adalah menjadi harapan saya MOU dan komitmen yang dimeterai oleh Tan Sri
Khalid Ibrahim ini bolehlah dibahaskan dengan seobjektif mungkin demi
menjamin kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia amnya.
Urusniaga Dibiayai Rakyat
Keseluruhan urusniaga jual beli aset air dan pajakan aset air yang
terlibat di dalam penstrukturan ini akan dibiayai sepenuhnya oleh dana
rakyat.
Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) akan
membeli aset air ini dari Kerajaan Negeri dan pemegang konsesi sedia
ada. Pembelian oleh agensi Kerajaan Persekutuan ini akan dibiayai
melalui penerbitan bon yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Dalam
erti kata lain, ia samalah dengan Kerajaan Persekutuan berhutang untuk
membayar pemegang konsesi sedia ada.
Oleh sebab itulah, harga pampasan dan pembelian yang dibayar kepada
pemegang konsesi adalah cukup sensitif kerana ia bersamaan dengan
tanggungan hutang baru yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Lebih
tinggi harga pampasan dan pembelian itu, maka lebih untunglah pemegang
konsesi dan lebih tinggi hutang negara yang ditanggung rakyat.
PAAB kemudiannya akan memajak pula aset air ini (empangan, loji rawatan,
sistem paip dan lain-lain) kepada syarikat baru yang dilantik sebagai
operator selepas penstrukturan. PAAB akan mengenakan bayaran pajakan
tahunan (annual lease charges) ke atas operator ini. Lebih tinggi
pinjaman yang ditanggung PAAB (dijamin Kerajaan Persekutuan), maka
lebih tinggilah bayaran pajakan tahunan yang dikenakan ke atas operator
kerana PAAB perlu mengumpul dana untuk membayar balik hutang.
Lebih tinggi bayaran pajakan tahunan, maka lebih tinggi kos yang
ditanggung operator. Ini bermakna operator tiada pilihan lain kecuali
menaikkan tarif air di Selangor untuk menanggung kosnya termasuk bayaran
pajakan tahunan kepada PAAB.
Kerajaan Persekutuan juga akan menanggung kos pembinaan Projek Langat 2
melalui kaedah yang sama dan melibatkan dana awam, maka lebih tinggi kos
Projek Langat 2 makin tinggilah hutang negara dan tarif air yang
ditanggung rakyat.
Oleh itu, harga pampasan kepada pemegang konsesi sedia ada akan membawa kesan yang besar kepada rakyat melalui:
1. Hutang negara yang diambil oleh PAAB dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan (ditanggung oleh rakyat)
2. Kenaikan tarif air akibat bayaran pajakan tahunan yang lebih tinggi (ditanggung oleh rakyat)
Kesan isi kandungan MOU
Saya khuatir isi kandungan MOU adalah berat sebelah yang berpihak kepada Kerajaan Persekutuan dalam beberapa aspek.
Projek Langat 2: Mengikat hanya di pihak Kerajaan Negeri
Pertama, keseluruhan dokumen itu adalah satu memorandum persefahaman
sahaja yang tidak mengikat, kecualilah yang bersabit dengan kelulusan
serta merta Projek Langat 2.
Rujuk Artikel 5(b) di dalam MOU yang secara jelas menyebut bahawa tanggungjawab Kerajaan Selangor ialah “memastikan
bahawa semua kelulusan serta kebenaran yang berkaitan atau perlu (sama
ada sedia ada dikenal pasti atau yang berbangkit atau susulan) berhubung
pelaksanaan LRAL2 daripada Kerajaan Negeri Selangor atau pihak-pihak
berkuasa yang berkenaan hendaklah bersifat mengikat dan tidak boleh
batal(binding and irrevocable) dan berkuat kuasa sepenuhnya dalam apa
jua keadaan dan tidak boleh ditarik balik, dibatalkan, digantung atau
diubahsuai melainkan atas permohonan atau permintaan Kerajaan
Persekutuan.”
Pada masa yang sama, semua tanggungjawab Kerajaan Persekutuan
mengenai penstrukturan air hanyalah satu persefahaman yang tidak
mengikat di sisi undang-undang. Tidak ada satu artikel lain pun di dalam
MOU itu yang dirujuk sebagai mengikat (binding and irrevocable)
kecualilah Artikel 5(b) bersabit kelulusan Projek Langat 2. Malah
Artikel 5(b) ditulis khusus dalam konteks kelulusan Projek Langat 2.
Dengan lulusnya Projek Langat 2, kedudukan Kerajaan Selangor untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan dalam isu
Dari MOU itu, jelas bahawa Kerajaan Negeri telah pun memberi
Kebenaran Merancang secara serta merta (rujuk Artikel 5(a)) dan semua
kebenaran lain termasuklah pengambilan dan pendaftaran tanah dalam
tempoh 30 hari dari tarikh MOU.
Ini bermakna, Kerajaan Selangor seolah-olah melepaskan satu-satunya
senjata yang ada untuk berdepan dengan Kerajaan Persekutuan iaitu Projek
Langat 2 tanpa mendapat apa-apa komitmen yang mengikat dari Kerajaan
Persekutuan.penstrukturan air adalah tempang.
Tidak menyentuh mengenai pemegang konsesi sedia ada
Kedua, MOU itu langsung tidak merungkai masalah terbesar yang selama ini
membantutkan rundingan penstrukturan air iaitu keengganan pemegang
konsesi sedia ada terutamanya Puncak Niaga dan Syabas menerima harga
tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Selangor.
Di dalam MOU, tidak ada satu artikel pun yang merujuk kepada persoalan
ini. Ia hanya disebut secara tidak langsung di dalam Artikel 3 iaitu
tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memudahcara (facilitate)
penstrukturan melalui peruntukan undang-undang, itu pun tidak mengikat
kerana ia hanya satu persefahaman.
Ini bermakna, walaupun Projek Langat 2 telah diluluskan, status
rundingan dengan pemegang konsesi adalah di takuk lama iaitu belum
selesai. Tawaran yang dibuat Kerajaan Selangor perlu dijawab oleh
pemegang konsesi menjelang 10 Mac 2013.
Jika pemegang konsesi bersetuju, rakyat perlu tahu secara terperinci
harga tawaran akhir da nisi kandungan perjanjian untuk menilai kenapakah
pemegang-pemegang konsesi ini tiba-tiba bersetuju kalau harga tawaran
tetap sama, sedangkan mereka menentang selama ini.
Jika pemegang konsesi tidak bersetuju, maknanya Kerajaan Selangor
terpaksa berunding dan mencari jalan baru kerana tidak ada komitmen yang
mengikat di pihak Kerajaan Persekutuan untuk menyempurnakan
penstrukturan ini.
RM2 bilion tambahan untuk ambil alih ekuiti pemegang konsesi sedia ada
Ketiga, Artikel 4(iii) menyebut bahawa “ selain daripada tawaran KDEB,
Kerajaan Persekutuan melalui PAAB akan menyediakan peruntukan sejumlah
RM2 billion untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam urusan
pengambilalihan ekuiti Syarikat-Syarikat Konsesi Air.”
Saya menafsirkan ini sebagai bayaran tambahan yang akan dibuat kepada
pemegang konsesi selain dari tawaran sedia ada Kerajaan Selangor
(melalui KDEB) yang berjumlah RM9.65 bilion itu. Artikel 4(iii) juga
perlu dibaca bersama dengan Artikel 4(i) yang menyentuh mengenai tawaran
asal dari KDEB berjumlah RM9.65 bilion.
Ringkasnya, Kerajaan Persekutuan memberi persefahaman bahawa untuk
mendapatkan persetujuan dari pemegang konsesi sedia ada, peruntukan
tambahan sebanyak RM2 bilion akan digunakan untuk mengambilalih ekuiti
pemegang konsesi. Saya menafsirkan ini sebagai bayaran tambahan yang
akan dibuat kepada pemegang konsesi, menjadikan jumlah bayaran pampasan
kepada pemegang konsesi bukanlah RM9.65 bilion tetapi RM11.65 bilion
(termasuk RM2 bilion tambahan).
Proses kelulusan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Keempat, kuasa yang ada mengikut Perlembagaan Negeri adalah dimandatkan
melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (EXCO). Oleh kerana MOU ini
tidak dibentangkan di EXCO kerana hanya diketahui dan dimuktamadkan
kandungannya hanya satu jam sebelum tandatangan (seperti kenyataan Puan
Faekah Hussin yang merundingkan MOU ini), maka ia sudah tentu tidak
melalui Mesyuarat EXCO.
Tanpa kelulusan Mesyuarat EXCO, kesahihan MOU ini boleh dipersoalkan.
Empat perkara di atas adalah maklumbalas yang boleh menimbulkan
spekulasi dan perlu diperjelaskan secepat mungkin oleh Tan Sri Khalid
Ibrahim.
Tanggungjawab saya adalah untuk memastikan rakyat tahu, seperti mana
saya akan terus mendedahkan perjanjian-perjanjian lain yang melibatkan
rakyat baik di pihak PR atau BN.
RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

Tiada ulasan:
Catat Ulasan