SHAH ALAM : Seorang wanita rakyat Malaysia yang baru pulang dari
menunaikan Umrah di tanah suci Mekah mendakwa telah melihat bangkai
sebuah pesawat yang besar berwarna perak di perairan Laut Andaman ketika
pesawat yang dinaikinya melintasi kawasan berkenaan pada pagi 8 Mac
lalu.
Raja Dalelah Raja Latife, 53, berkata terlihat sebahagian daripada
badan yang didakwa pesawat itu tenggelam dan sebahagian lagi timbul.
Yakin apa yang dilihatnya, Raja Dalelah memberitahu kepada beberapa
penumpang yang lain di dalam pesawat berkenaan namun dipandang ringan.
Raja Dalelah menaiki pesawat Penerbangan Saudi SV2058 yang berlepas
dari Jeddah pada jam 3.30 pagi waktu Arab Saudi (8.30 pagi waktu
Malaysia) dan ketika pesawat itu melintasi bandar Chennai di India dan
memasuki ruang udara Laut Andaman, dia melihat menerusi tingkap
pesawatnya satu objek besar menyerupai pesawat terdampar di atas laut.
“Saya nampak macam kapal terbang.Sepanjang perjalanan pulang saya
sentiasa melihat ke luar kerana saya tidak dapat tidur langsung dan
ketika lawatan saya ke Beijing dua tahun lalu juga dia tidak dapat tidur
di dalam pesawat dan sentiasa berjaga," katanya yang dipetik daripada
Mstar.
Raja Dalelah, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor menambah, sewaktu
dia terlihat objek besar berwarna perak yang seakan-akan sebuah pesawat
di atas lautan itu, skrin tv di hadapannya menunjukkan yang mereka
sedang melintasi Laut Andaman.
“Sebelum itu saya nampak beberapa buah kapal dan kemudian pulau-pulau
kecil dan selepas itulah saya ternampak objek berwarna perak di atas
air. Saya mengejutkan rakan saya di sebelah untuk melihat apa yang saya
saksikan tetapi malangnya mereka mentertawakan saya.
"Buat apa saya nak bercakap bohong saya baru sahaja balik dari umrah," katanya lagi.
Beliau seterusnya membuat satu laporan polis pada 14 Mac lalu apa yang
didakwa telah disaksikannya itu dengan harapan akan ada pihak yang
mengambil apa yang dikatakannya secara serius.
Malah Raja Dalelah mendakwa masih boleh menjelaskan apa yang disaksikannya itu secara terperinci.
Katanya, pesawat yang dilihatnya itu separuh terapung dan sebahagian
besar lagi badan pesawat itu berada di dalam air dengan keadaannya yang
senget sebelah.
“Saya melihat jam pada waktu itu menunjukkan pukul 9.30 pagi (2.30 petang waktu Malaysia),” kata beliau.
Raja Dalelah berkata, bila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) pada pukul 4 petang dia telah menceritakan apa yang
disaksikannya itu kepada anaknya.
“Pada waktu itulah mereka memberitahu saya yang pesawat MAS MH370
hilang dan sedang dicari.Menantu saya seorang pegawai polis yakin yang
saya telah menyaksikan sebuah pesawat yang terhempas dan meminta saya
supaya membuat laporan polis.
"Anak-anak saya yang lain khuatir yang saya mungkin akan ditahan kerana
membuat laporan palsu kerana pada awalnya semua orang berkata yang
pesawat itu kali terakhir dilihat di Laut China Selatan."
Tetapi katanya, sekarang sesiapa yang mendengar ceritanya sudah mula
percaya selepas pesawat itu disahkan telah berpatah balik dan hilang di
sebelah barat dan bukannya Laut China Selatan.
Bagaimanapun seorang juruterbang berkata, dalam penerbangan jarak jauh
seperti dari Jeddah dan Kuala Lumpur, paras ketinggian sesebuah pesawat
adalah pada 35,000 kaki.
"Ini bermakna kedudukan pesawat dari permukaan bumi adalah pada jarak
lebih kurang tujuh batu. Pada jarak sejauh ini tidak ada siapa pun dapat
melihat dengan jelas apa-apa objek di permukaan bumi atau pun di atas
air," kata juruterbang itu yang enggan namanya disiarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan