HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Jun 2014

Menteri jangka lebih banyak laporan kes OKU terbiar

MALAYSIAKINI


 


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim percaya lebih banyak kes pengabaian kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) dilaporkan di masa hadapan susulan kes Muhammad Firdaus Dullah.

Beliau berkata susulan kejadian menimpa OKU berusia 15 tahun yang dikurung oleh ibunya, akan menggalakkan lebih ramai orang awam tampil melaporkan kejadian seumpama itu berikutan kesedaran yang ditimbulkan kes berkenaan.

"Kita lihat selepas kes Firdaus, kes di Kelantan pula dilaporkan. Saya tahu ada yang tanya kenapa lambat sangat tindakan diambil? Ini kerana tiada pihak yang melaporkannya sebelum ini," katanya.

Rohani berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Raya Aidilfitri Fashion Fiesta anjuran Globe by Sarah Hughes di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai kes Nasitah Yahya, 44, yang dikurung selama lebih 10 tahun di bawah rumahnya di Tumpat, Kelantan,  Rohani berkata wanita itu kini sedang menjalani pemeriksaan di hospital.

Kes itu juga sedang dirujuk kepada Kementerian Kesihatan memandangkan wanita terbabit dikatakan mengalami masalah mental dan pernah mendapat rawatan di Hospital Permai, Tampoi di Johor Bharu, kata Rohani.

"Daripada laporan yang saya terima makanan, minuman dan pakaian untuk wanita itu disediakan. Masalahnya cuma kes ini kes mental dan dia agak ganas. Buat masa ini pegawai saya sedang mengambil laporan (mengenainya)," katanya.

Mangsa yang berusia 30-an itu dipercayai dikurung adik-beradiknya dalam sebuah bilik berukuran 5.8 meter persegi dan setinggi lebih dua meter sejak 10 tahun yang lalu selepas kematian ibu bapa mereka.- Bernama

Tiada ulasan: