Oleh Shahbudin Husin
Kekalahan Khalid Ibrahim dalam pemilihan Ketua Cabang Kuala Selangor dua hari lalu seperti turut menunjukkan tempoh hayatnya sebagai Menteri Besar Selangor juga bakal berakhir. Setelah dikritik oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat Selangor mengenai isu air, rampasan Bible dan lebuhraya Kidex kerana mengamalkan cara pentadbiran solo, Khalid kini menerima nasib yang lebih malang apabila ditolak oleh ahli di cabangnya sendiri.
Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pula, beliau masih lagi ketinggalan di belakang Azmin Ali. Bagaimanapun kekalahan di peringkat cabang ini lebih memalu dan menjatuhkan saham politiknya kerana ia menunjukkan beliau sudah tiada lagi asas sokongan daripada akar umbi.
Meskipun kekalahan itu turut dikaitkan insiden lampa terpadam yang turut dispekulasikan dengan kemungkinan adanya unsur-unsur sabotaj dan silap mata, Jawatankuasa Pemilihan Parti atau JPP yang diketahui oleh Johari Abdul sebaliknya menolak kemungkinan sabotaj dan hampir pasti memuktamadkan keputusan pemilihan tersebut.
Jika seorang Menteri Besar boleh kalah dalam pemilihan Ketua Cabangnya sendiri, ia seperti memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena dengan kepimpinan Khalid selama ini. Stail kepimpinannya yang tidak mesra dengan ahli dan lebih mirip memimpin sebuah entiti perniagaan yang selama ini menjadi bualan, lebih mudah dipercayai dan lebih mungkin ada kebenarannya.
Ketika dalam UMNO dulu pun, walaupun Khalid adalah nama besar dalam dunia korporat tetapi beliau tidak pernah menang sebarang percubaan dalam pertandingan di Bahagian Kuala Selangor.
Jika dulu ramai yang hairan bagaimana beliau boleh ditolak dalam semua pemilihan UMNO di Kuala Selangor, kini setelah menjadi Menteri Besar Selangor dah kalah pula dalam pemilihan PKR, ramai yang sudah mendapat jawapan atas perkara itu.
Khalid sebenarnya lebih merupakan pemimpin korporat dan bukannya pemimpin politik.
Susulan kekalahan Khalid di Kuala Selangor, di samping kritikan yang berterusan mengenai kepimpinannya daripada Pas, DAP dan PKR sendiri, isu pertukaran Menteri Besar Selangor lantas bergema kembali. Lebih ramai yang mahukan beliau meletakkan jawatan atau diundurkan daripada jawatannya berbanding mahukannya terus kekal di jawatan itu.
Jika beberapa hari lalu, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar secara terbuka menyatakan pertukaran jawatan Menteri Beaar Selangor sudah dipersetujui oleh pimpinan PR dan hanya menunggu ketika yang sesuai untuk dilaksanakan, semalam pula Rafizi Ramli memperkukuhkan lagi hakikat itu dengan menjelaskan pula bahawa Langkah Kajang yang dirancang beberapa bulan lalu, masih lagi berjalan.
Hari ini, seorang lagi ADUN Selangor, Suhaimi Shafie pula menyatakan Khalid Ibrahim seharusnya segera meletakkan jawatan berikutan parti yang dianggotainya sendiri tidak lagi gembira dengan kepimpinannya.
Pertukaran Khalid juga turut dikaitkan dengan usaha untuk memastikan PR Selangor terus memenangi pilihanraya umum akan datang kerana beliau bukan saja tidak lagi dinamik, terapi juga lantaran semakin kurang mendapat sokongan berikutan kegagalannya menangani beberapa isu kebelakangan ini.
Walaupun gagal menempatkan Anwar sebagai Menteri Besar melalui Langkah Kajang, tetapi Khalid tetap mahu disingkirkan, tetapi siapakah yang layak menggantikan Khalid?
Sebagaimana pelan asal Langkah Kajang dirangka untuk menggantikan Khalid Ibrahim dengan Anwar Ibrahim, tetapi halangan yang dihadapi Anwar membuatkan Wan Azizah ditonjolkan sebagai gantinya, kali ini sekali lagi tuah nampaknya akan menyebelahi Presiden PKR itu.
Beliau dilihat satu-satunya pemimpin PKR yang boleh diterima oleh semua pihak bagi menggantikan Khalid Ibrahim, bukan saja oleh PKR tetapi juga parti-parti lain dalam PR. Dengan Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor, banyak isu berbangkit di negeri itu dapat diselesaikan sehingga tibanya pilihanraya umum akan datang.
Selepas pilihahraya umum nanti, jika PKR menguasai lebih kerusi, besar kemungkinan barulah jawatan Menteri Beaar Selangor akan diambil alih oleh Azmin Ali pula. Namun jika Pas memperolehi lebih kerusi, tidak mustahil ia berpindah tangan kepada parti itu pula.
Apa pun, perkembangan akhir-akhir ini di Selangor sudah boleh membuatkan Khalid Ibrahim mula mengemas secara perlahan-lahan barang-barang peribadinya di pejabat Menteri Besar Selangor kerana semakin tiada alasan lagi untuk mengekalkannya di jawatan itu.
http://shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan