HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Jun 2014

Nasib Khalid di hujung tanduk?



Oleh Zulkifli Jalil 
 
 
Apakah dengan kekalahan mengejut Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di peringkat Cabang PKR Kuala Selangor beberapa hari lalu menjadi noktah pengakhiran kedudukan jawatan menteri besarnya?

Sudah beberapa kali percubaan untuk menyingkirkan Abdul Khalid sebelum ini namun masih gagal dan berjaya dipatahkannya.

 Tetapi dengan kekalahan mengejutnya di tangan bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam yang diselangi dengan kejadian pelik ‘blackout’ (elektrik terputus) hampir dua jam semasa pengiraan undi, apakah kali ini Khalid masih terselamat atau ‘bungkus’?

Walaupun percubaan terakhir untuk menyingkirkan Khalid dipercayai dilakukan menerusi Langkah Kajang dengan di saat-saat akhir Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menjadi calon kerana berdepan kes mahkamah, kekalahan di Cabang Kuala Selangor itu dilihat platform terbaik seperti mana diinginkan pihak dalam PKR untuk mengundurkan Khalid.

Kini, nasib beliau seolah-olah di hujung tanduk. Kata Anwar, kedudukan Khalid akan ditentukan pimpinan tertinggi pembangkang melalui persetujuan ramai. Di satu sudut lain, kononnya tanpa persetujuan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempunyai hubungan baik dengan menteri besar itu, segala perancangan untuk menyingkirkan Khalid tidak akan berjaya.

Mungkin Hadi sendiri merasakan beliau layak menjadi kata pemutus dengan kedudukan jumlah kerusi PAS di Selangor lebih satu kerusi daripada PKR. Namun berdasarkan sentimen tahun lalu di kala pelbagai pihak mendesak PAS tekad mengambil alih kerusi MB daripada PKR, hasilnya - wakil-wakil rakyat PAS menampakkan diri terlalu defensif.

Walaupun pada peringkat permulaan tampak begitu meyakinkan tetapi apabila ‘disergah’ dan ditambah dengan kurang pengalaman dan keintelektualan seperti mana Khalid, PAS melepaskan begitu sahaja peluang yang terhidang dalam membuktikan kewibawaannya.

Ini ditambah lagi dengan kegusaran parti berteraskan Islam itu untuk berdepan dengan satu lagi sekutu pakatan, DAP yang menjadi mastermind di Selangor.

Sabtu lalu, Manikavasagam berjaya meraih 701 undi menewaskan Khalid yang mendapat 515 undi. Khalid bagaimanapun berjaya mendapatkan undi lebih banyak berbanding penyandang, Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden.

Pengundi Kuala Selangor memberikan Khalid 517 undi, Azmin 440 undi dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebanyak 50 undi.

Walaupun ada mengatakan Manikavasagam menang kerana beliau dilihat sebagai calon tertindas selepas digantung keahlian parti selama beberapa minggu ekoran beliau lantang bercakap tentang penentangan terhadap politik wang, namun isu ‘blackout’ semasa pengiraan undi tetap menjadi percakapan.

Khalid didakwa Manikavasagam sebagai seorang yang mengamalkan politik wang, walaupun dinafikan sekeras-kerasnya oleh menteri besar Selangor itu. Bagaimanapun, penggantungan keahlian Manickavasagam kemudiannya dibatalkan untuk membolehkan beliau kembali bertanding dan muncul pemenang menentang Khalid yang merupakan penyandang jawatan di cabang tersebut.

Sebenarnya, usaha menyingkirkan Khalid dikatakan dibuat sejak setahun dua ini. Beliau ditempelak kerana kononnya gagal menguruskan wang kerajaan negeri dengan baik. Pencapaian beliau pernah dibandingkan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Sebelum ini, Khalid pernah berbangga dengan lebihan kewangan yang diperoleh tetapi gagal dalam membelanjakannya dengan baik.

Khalid juga pernah ditempelak di depan orang ramai dalam forum Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya, Selangor.

Tanpa mengambi kira perasaannya, Anwar dikatakan memuji Guan Eng yang disifatkannya berjaya membawa Pulau Pinang mencapai tahap prestasi terbaik.

“Saya puji Lim Guan Eng yang membawa Pulau Pinang pada tahap prestasi terbaik, bagaimanapun tidak kepada Khalid kerana sudah masanya Selangor tidak lagi berbangga dengan lebihan yang diperoleh", kata Anwar.

Tindakan Anwar mengkritik prestasi Khalid itu dilihat agak pelik kerana beliau sendiri ialah penasihat ekonomi kerajaan PKR Selangor.

Kelmarin, Khalid menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sebagai MB sekalipun kalah dalam pertandingan timbalan presiden PKR.

Malah, tegas beliau, kekalahan dalam pertandingan tiga penjuru itu tidak relevan dengan jawatannya sekarang, kerana untuk menjadi seorang menteri besar, beliau hanya perlu menjadi Adun Selangor.

“Bagaimana jika kalah sebagai ahli Parlimen, jadi tidak boleh menjadi menteri, itu okey. Tetapi jika kamu seorang ahli Parlimen, kamu akan kekal sebagai ahli Parlimen sehingga pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sebelum ini Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Jaafar Sulaiman dilaporkan memberitahu beberapa pemimpin parti itu kini tidak lagi menyokong Khalid untuk terus menjadi menteri besar.

Jaafar berkata, sikap Khalid yang sering membuat keputusan bersendirian serta membelakangkan sekutu pakatan pembangkang membuatkan mereka menolak kepimpinannya kali ini.

Malah, Jaafar berkata, gaya urus tadbir Khalid yang masuk penggal kedua di negeri itu tidak berubah biarpun ditegur beberapa kali oleh pimpinan akar umbi PKR.

PKR dan DAP Selangor sering mengkritik Khalid kerana dilihat tidak serius mengendalikan isu hangat di Selangor. Antaranya, masalah bekalan air, serta yang terbaharu, isu rampasan kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban.

Namun sehingga petang semalam, Khalid tetap tidak berganjak dan muktamad dengan pendiriannya mahu mengekalkan kedudukan menteri besar. Pastinya Anwar sendiri pening kepala, sekali gus mungkin sedang memikirkan ‘strategi terbaharu’. – utusan.com.my

Tiada ulasan: