HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Jun 2014

‘Pancung kepala’: Perkasa gugat keharmonian Sarawak

 
Kenyataan Perkasa itu mencerminkan pemikiran tidak bertamadun dan sikap ekstrim mereka yang perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia.

Andri_Zulkarnaen_300
PETALING JAYA: Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak Andri Zulkarnaen Hamden menyelar amaran melampau Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang berhasrat untuk memancung kepala pihak yang enggan menghormati kedaulatan Islam dan mengkhianati kedudukan Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri.

Menurutnya, kenyataan keterlaluan dan tidak bertanggungjawab tersebut boleh mencerminkan kesan buruk bukan sahaja kepada keharmonian pelbagai bangsa di Malaysia bahkan memberi persepsi negatif terhadap agama Islam sendiri.

“Islam adalah agama yang mengajar kasih sayang, persaudaraan dan bukan mengajar kekerasan.
Islam juga menitikberatkan keadilan, keharmonian, saling hormat menghormati dan kesederhanaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, kenyataan Perkasa itu mencerminkan pemikiran tidak bertamadun dan sikap ekstrim mereka yang perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam.

“Sekiranya mereka benar-benar ingin memelihara dan mempertahankan kesucian Islam itu, kenapa apabila pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno menghina Islam secara terang-terangan mereka diam seribu bahasa?

“Kenapa program berunsur maksiat yang dianjurkan oleh kerajaan dan pihak swasta tidak ada yang bangun membantah?

“Adakah isu terpilih yang mendatangkan keuntungan politik sahaja Perkasa ingin menjuarai agar dapat memberi impak politik kepada mereka?” soalnya.

Ujarnya lagi, PAS Sarawak beranggapan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Perkasa adalah amat berbahaya dan boleh mengancam hubungan baik yang telah terbina berkurun lamanya dengan penganut Kristian terutama di negeri Sarawak.

Bahkan kenyataan Perkasa juga boleh menimbulkan kebencian dan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.

“Pas Sarawak mencadangkan agar pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat kenyataan Perkasa, kerana kenyataan  tersebut berunsur hasutan dan boleh menggugat kestabilan dan keamanan negara yang mempunyai berbilang bangsa dan agama,” ujarnya.

Tiada ulasan: