HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Jun 2014

Tujuh kawasan masih alami gangguan bekalan air

MALAYSIAKINI


Hanya tujuh daripada 54 kawasan di Wilayah Klang/Shah Alam dilaporkan masih mengalami gangguan bekalan air sehingga semalam.
  
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata kawasan terbabit ialah Kampung Bukit Lanchong, Seksyen 26, Seksyen 27, Seksyen 28, Seksyen 35, Jalan Kebun Nenas dan UEP/USJ Subang.
  
"Bagi Wilayah Kuala Lumpur, daripada sejumlah 32 kawasan yang terjejas, kini hanya kawasan Taman Shamelin Perkasa yang masih mengalami terputus bekalan dan tekanan air rendah," katanya dalam satu kenyataan semalam.
  
Beliau berkata pada masa sama, sebahagian kawasan di Wilayah Hulu Langat masih terputus bekalan dan mengalami tekanan air rendah.
  
"Gangguan ini tidak dapat dielakkan kerana bekalan air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Sungai Langat tidak dapat menampung permintaan air di kawasan tersebut.
  
"Kedua-dua loji ini tidak lagi dapat menambah pengeluaran air terawat kerana masing-masing sudah beroperasi di tahap maksimum," katanya.
  
Dalam perkembangan lain yang membabitkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Ketam dan Sungai Lima, Priscilla berkata kerja-kerja menaikkan paip dari dasar laut yang dalam dan berlumpur masih diteruskan.

Beliau berkata ia dilakukan dengan bantuan kontraktor yang dilantik dan kerja-kerja pembaikan hanya akan dijalankan selepas kerja menaikkan paip itu selesai.- Bernama

Tiada ulasan: