MALAYSIAKINI
Minum air buah semasa bersahur adalah antara tindakan yang baik dalam
memastikan umat Islam sentiasa bertenaga dan sihat sepanjang hari pada
bulan Ramadan ini, menurut pakar dietetik.
Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni
Sulaiman berkata dengan meminum air buah-buahan segar, ia dapat mencegah
tubuh daripada mengalami dehidrasi pada bulan puasa ini.
Air buah-buahan ini mengandungi pelbagai jenis nutrien seperti vitamin,
potasium dan glukosa, dan berperanan sebagai bekalan tenaga di dalam
badan, katanya kepada Bernama baru-baru ini.
"Sebenarnya rasa letih, penat dan mengantuk bukannya disebabkan
kekurangan makanan tetapi ia adalah disebabkan kuantiti air di dalam
badan berada pada tahap rendah.
"Bila berlakunya dehidrasi, tubuh kita kehilangan air serta garam galian
seperti sodium, potasium, kalsium, fosfat dan sebagainya, sebab itu air
memainkan peranan penting di dalam tubuh kita," tambahnya.
Memandangkan bulan Ramadan kali ini jatuh pada musim Monsun Barat Daya
dengan cuaca yang panas dan kering, serta diburuk dengan jerebu yang
tidak menentu dan ramalan fenomena El Nino akan melanda Malaysia pada
pertengahan tahun ini, maka adalah perlu bagi umat Islam memastikan
bekalan air dalam badan sentiasa dijaga.
Ridzoni berkata selain meminum air buah-buahan, orang ramai perlu
mengelak daripada meminum kopi ataupun teh pada bulan puasa kerana
minuman itu mempunyai kesan deuratik.
Minuman tersebut akan merangsang pengeluaran air kencing, dan akibatnya,
badan akan mengalami dehidrasi dan tekak menjadi sangat haus, katanya.
Sementara itu, Pegawai Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan
Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Hairil Nizam Abdul Hamid turut
bersependapat pengambilan air yang mencukupi amat penting dalam
menghadapi musim panas ketika berpuasa.
Katanya, kekurangan air ini boleh menyebabkan tubuh menghadapi masalah
kerana 70 peratus daripada komposisi tubuh terdiri daripada air.
"Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari bagi memastikan sel-sel tubuh dapat berfungsi dengan baik.
"Apabila tubuh mengalami dehidrasi masalah utama adalah buah pinggang
kerana bila tubuh kekurangan air, buah pinggang akan kecut yang boleh
menyebabkan kerosakan buah pinggang, malah antara perkara lain yang
boleh berlaku adalah pening dan pitam," katanya.
Tambah beliau, walaupun pengambilan air yang mencukupi dititikberatkan
namun orang ramai turut dinasihat memakan makanan seimbang.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan