HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Jun 2014

Jemaah umrah dijangka meningkat sempena Ramadan

WARTA UTARA


MEKAH  - Jumlah umat Islam yang akan melakukan ibadah umrah dijangka meningkat dengan kedatangan bulan Ramadan.Arab News melaporkan, statistik terkini mendedahkan bahawa jumlah jemaah yang memasuki Kota Mekah telah mencecah 5.3 juta sehingga Ahad lalu.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya akan terus bersiap sedia untuk musim umrah kali ini dengan melancarkan kempen kesihatan besar-besaran untuk menyedarkan rakyat, peniaga, pelawat dan jemaah terhadap penyakit Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV).

Portal berita Saudi Gazette melaporkan bahawa, pihak kementerian mengambil sikap dengan memberi kesedaran dalam kalangan jemaah umrah mengenai langkah berjaga-jaga dan pencegahan untuk mengelakkan dijangkiti MERS-CoV.

Kementerian turut menegaskan mengenai kepentingan mengambil vaksin yang sepatutnya diambil oleh jemaah bagi melindungi diri.

Tambahnya lagi, kementerian juga sedang memantau keadaan kesihatan jemaah umrah yang masuk di kedua-dua kota suci Mekah dan Madinah dari hari ketibaan mereka sehingga meninggalkan negara ini.

Sementara itu, Kementerian Haji turut mengesahkan bahawa setakat ini tiada jemaah umrah yang dijangkiti MERS-CoV.

Kementerian Haji juga menjangkakan lebih jemaah umrah akan tiba sempena bulan Ramadan bermula minggu ini.

Tiada ulasan: