HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Jun 2014

Serambi Mekah pangkalan gerakan Islam

ASLANI M 


KOTA BHARU: Anak-anak Kelantan yang berada di perantauan hendaklah bersama-sama mengekalkan kepemimpinan ulama bagi memacu dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, mereka mempunyai sumbangan besar bagi mengekalkan kerajaan di bawah ulama sejak 1990 sehingga sekarang.

Katanya, ia adalah inspirasi rakyat Kelantan bagi mengekalkan Serambi Mekah sebagai pangkalan gerakan Islam di negara ini.

“Kita hendaklah sama-sama mengekalkan perjuangan Islam sebagai sebuah parti yang memerintah. Kalau ditakdir berlaku sesuatu tentunya sukar bagi kita bertapak semula.

“Suasana yang ada sekarang patut kita pupuk supaya menjadi satu kekuatan bagi memperkasakan lagi MBI,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Sebelum ini difahamkan terdapat usaha bagi memindahkan tempat mengundi dalam kalangan anak-anak Kelantan yang berada di perantauan selepas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi mengetuai kerajaan negeri.

“Tidak wajar sesetengah daripada kita mahu memindahkan tempat mengundi di kampung halaman masing-masing kerana ia bercanggah dengan hasrat rakyat.

“Kita tidak tahu apa tujuan sebenar mereka sama ada hendak memberi sokongan kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor atau Pulau Pinang,” ujarnya.

Ahmad yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat turut memberitahu tidak pernah wujud usaha-usaha ke arah kerajaan perpaduan (UG) seperti digambarkan sesetengah pihak sebelum ini.

Kata beliau ada sesetengah pihak melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan.

“Ada orang kata sebut UG, sedangkan ia tidak pernah berlaku. Kita tetap taat setia kepada keputusan parti.

“Kalau ada perbincangan dan rundingan sebelum ini ia adalah antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, dan bukan sekali-kali melibatkan parti.

“Di Malaysia ada tiga kerajaan iaitu persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan. Jadi hubungan antara kerajaan itu dijalin bagi kepentingan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: