SHAH ALAM: Setiausaha Politik Menteri Besar Azman Abidin memberitahu
bahawa pihaknya bersedia menyahut cabaran Jawatankuasa Pemilihan Pusat
(JPP) untuk membuat aduan berhubung wujud elemen sabotaj ketika proses
pengiraan undi Cabang Kuala Selangor.
Bagaimanapun, Azman berkata pihaknya mahu JPP membuat pemilihan semula Cabang itu dan bukan pengiraan semula undi.
"Kita akan buat aduan kepada JPP dan hari Isnin ini. Kita akan buat secara rasmi aduan bantahan mengenai pengiraan undi itu.
"Kita nak pemilihan semula, kita tak nak kiraan semula kerana kiraan
semula ini dia boleh setempet apa yang kita nak buat kita nak desak
untuk pemilihan Cabang balik," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor pada pemilihan parti itu.
Khalid tewas kepada bekas Ahli Parlimen Kapar S.Manikavasagam, sekali
gus memberi tamparan hebat kepada kedudukan beliau sebagai menteri besar
dan sebagai calon timbalan presiden parti.
Khalid hanya memperolehi 515 undi berbanding Manikavasagam atau Mike
yang mendapat 701 undi pada pemilihan yang diadakan Ahad lalu. Keputusan
rasmi pemilihan itu dimaklumkan pada Rabu lalu.
Malah, Azman berkata pihaknya kini sedang mengumpul bukti dan maklumat
berhubung perkara tersebut bagi membolehkan pemilihan semula Cabang itu
diadakan semula.
"Kita sedang kumpul (bukti) dan malam tadi pun kita punya pasukan
sedang dapatkan beberapa bukti dan maklumat bagi membolehkan kita
membuat aduan kepada JPP.
"Antaranya, selain dari blackout macam mana undi yang sepatutnya 390
yang dikatakan buta huruf itu (Timbalan Presiden) tetapi untuk Cabang
dia tak buta huruf itu yang berbeza sebab kalau dia buta huruf Cabang
pun akan rosak juga," tegas beliau.
Katanya, biarpun pemilihan tersebut terpaksa diadakan 10 kali sekali
pun pihaknya tetap akan berbuat demikian bagi memastikan proses
pengundian itu berjalan mengikut prosedur yang sepatutnya demi keadilan
kepada semua pihak.
"Kita nak buat benda ini sampai betullah maksud saya proses ini
betul-betul adil kepada semua pihak. Bagi saya kalau benda ini tak
dibuat dengan betul dan tergesa-gesa pun tak boleh, kalau tak betul dan
kita tahu ia tak betul kita perlu buat semula. Walaupun 10 kali kita
kena buat juga sampai dia jadi betul," tegasnya.
Katanya lagi, ini kerana beliau yakin memang wujud unsur sabotaj dalam pemilihan Cabang Kuala Selangor baru-baru ini.
"Memang ada unsur sabotaj, mungkin sabotaj yang mana kita pun tak tahu
dan kita akan siasat dulu tetapi berdasarkan petunjuk-petunjuk yang ada
JPP kena lihat baliklah," ujarnya lagi.
Semalam Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari
Abdul berkata mana-mana ahli PKR yang tidak berpuas hati dengan
keputusan pemilihan parti itu perlu membuat aduan kepada JPP terlebih
dahulu dan bukannya terus membawanya ke mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan