HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Jun 2014

Video jihad di Syria dipercayai rakyat M'sia di Youtube

BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Video dipercayai dirakamkan rakyat Malaysia yang terlibat dalam peperangan saudara di Syria, selama seminit dan 33 saat mula tersebar di laman YouTube.

Video yang bertajuk Siria - Mercenarios Asiáticos Combaten en las Filas Terroristas - 7 telah dimuat turun ke laman YouTube pada 7 Jun dan dirakamkan oleh seorang individu yang bercakap bahasa Melayu loghat utara.

Video itu merakamkan sebuah kereta kebal bergerak ke medan pertempuran dan sekumpulan lelaki, yang berpakaian celoreng tentera dan bersenjata, berada di dalam sebuah trak pengangkut.

"Ya kereta kebal sedang bergerak menuju ke destinasinya menuju ke medan pertempuran, Allahuakbar, Allahuakbar..Kesemuanya cinta syahid," kata jurukamera video itu.

Seorang lagi lelaki bercermin mata, yang dirakamkan dalam video itu, turut berkata: "Mujahid-mujahid hensem".

Rakaman video itu dikesan ketika Malaysia meminta pihak berkuasa Syria mengesahkan dakwaan berhubung penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan di negara Timur Tengah itu.

Dalam kenyataan kelmarin, Kementerian Luar berkata Malaysia menentang dan tidak merestui tindakan keganasan atau ekstremisme oleh mana-mana pihak termasuk oleh rakyatnya sendiri.

Kenyataan itu merujuk kepada dakwaan bahawa 15 rakyat Malaysia yang terbabit dalam keganasan dan aktiviti jihad dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL), kumpulan yang berpecah daripada Al-Qaeda, telah terbunuh di Syria.

Dakwaan itu dilapor dibuat oleh seorang pegawai Syria yang berpusat di New York pada sidang media 18 Jun yang turut mendakwa selain rakyat Malaysia, rakyat dari negara lain termasuk beberapa negara Asean juga terlibat dalam aktiviti seumpama itu di Syria. - Bernama

Tiada ulasan: