MALAYSIAKINI
Polis sedang dalam proses mengambil keterangan daripada anggota keluarga
wanita orang kurang upaya (OKU) yang ditemui dikurung dalam sebuah
bilik kecil di bawah rumah di Tumpat, Jumaat lalu untuk membantu
siasatan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata polis semalam mengambil keterangan abang dan kakak kepada Nasitah Yahya, 44.
"Kita akan cari saudara maranya yang lain untuk diambil keterangan.
Wanita itu ada tujuh beradik semuanya," katanya kepada pemberita selepas
majlis Serah-Terima Tugas Ketua Polis Kelantan dan Pengerusi Persatuan
Keluarga Polis
(Perkep) Kontinjen Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Beliau berkata tindakan lanjut termasuk kemungkinan menahan mereka yang
terlibat dengan kes wanita OKU itu akan dibuat berdasarkan keterangan
dan siasatan.
Mazlan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 342 kanun Keseksaan kerana
kurungan salah yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda
sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis
menemui Nasitah dikurung di sebuah bilik berukuran 5.8 meter persegi dan
setinggi lebih dua meter di Kampung Pasir, Pekan Hulu, Tumpat.
Dia dipercayai berada dalam keadaan demikian sejak 10 tahun lalu selepas kematian ibu bapanya.
Nasitah kini ditempatkan di Wad Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Mazlan, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Kelantan,
dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan yang baharu menggantikan Datuk
Jalaluddin Abdul Rahman yang kini menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah.
Isteri kepada Mazlan, Datin Anizah Musa kini menjadi Pengerusi Perkep
Kontinjen Kelantan yang baharu menggantikan Datin Siti Aishah Haron.
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata pihaknya akan meningkatkan
penguatkuasaan membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan melalui Ops
Cantas Khas sepanjang Ramadan di semua daerah.
"Selain itu, wawasan saya adalah untuk memberi fokus kepada kes jenayah
melibatkan dadah dan penyeludupan di kawasan sempadan sesuai dengan
garis panduan yang ditetapkan pucuk pimpinan," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan