HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Jun 2014

Jamil Khir digesa selesai isu campur tangan politik pelantikan AJK masjid

Oleh Amirul Azhan


KUALA LUMPUR : Menteri Agama yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Jamil Khir Baharom digesa menyelesaikan segera isu campur tangan politik dalam pelantikan jawatankuasa masjid dan surau sekitar Lembah Pantai.

Ia berikutan campur tangan Majlis Permuafakatan Masjid dan Surau Lembah Pantai dalam pelantikan terbabit, seperti pelantikan Datuk Ibrahim Thamby Chik selaku Pengerusi Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Masjid Al-Khadijah Pantai Dalam.

Ibrahim merupakan Ketua Biro Agama Umno Bahagian Lembah Pantai dan sebelumnya juga terlibat dengan isu kontroversi Masjid Al-Rhaman di Universiti Malaya, yang sekarang ditutup dengan alasan kerja pembaikpulihan semula.

Selain itu, pelantikan Yusof Hasan Basri, Timbalan Pengerusi Tetap Umno cawangan Lembah Pantai sebagai Pengerusi Surau Insaniah.

Johari (kiri) menyampaikan memo bantahan kepada wakil MAIWP
Johari (kiri) menyampaikan memo bantahan kepada wakil MAIWP

Ketua Biro Agama KEADILAN Lembah Pantai, Johari Musa berkata, pelantikan berkenaan bermotifkan politik kerana membenarkan campur tangan luar dalam pelantikan AJK bagi mentadbir beberapa masjid dan surau sekitar Parlimen itu.

“Pelantikan yang dibuat bermotifkan politik dan bukannya kepada ahli kariah sendiri, ini memperlihatkan fungsi MAIWP dipinggirkan.

“Banyak pelantikan terdiri daripada orang luar kawasan, ini menyebabkan ramai penduduk kecewa dan terabai,” kata Johari kepada Suara Keadilan.

Beliau berkata demikian merujuk pertikaian yang dibangkitkan kariah dalam memorandum yang diserahkan beliau bersama sekumpulan kariah kepada Ketua Perhubungan Korporat Bahagian Khidmat Pengurusan, Wan Ahmad Fadhil Shah yang mewakili Pengerusi MAIWP, di bangunan Perkim, di sini, pagi tadi.

Turut dipertikai adalah mengenai kesukaran kariah menyempurnakan segala aktiviti yang dirancang masjid akibat pelantikan bukan di kalangan kariah.

Menurut Johari, pihaknya akan menyerahkan memorandum sama kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam masa terdekat bagi tindakan lanjut supaya perkara ini dapat diselesaikan sebelum Ramadhan.

“Kita minta Menteri (Jamil Khir) yang terlibat dapat turut serta menyelesaikan hal ini secepat mungkin, demi kesejahteraan penduduk.

“Kami juga menggesa Menteri beserta agensi di bawah naungan Menteri berlaku adil, dan tidak mempolitikkan masjid, serta jangan membenarkan pengaruh politik kepartian dalam sebarang keputusan yang diambil,” katanya.

Menurut Johari, MAIWP menyatakan bahawa perkara itu hendaklah dipanjangkan kepada Jawi, kerana isu sedemikian adalah di bawah bidang kuasa Jawi.

Tiada ulasan: