Roketkini.com
IPOH: Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu mengambil jalan yang benar, bukannya jalan tengah bagi menyelesaikan pertikaian hak penjagaan anak antara bekas pasangan berbeza agama.
Peguam M Indira Gandhi, M Kulasegaran berkata, kenyataan
Khalid bahawa polis bersikap ‘neutral’ dalam kes membabitkan keputusan
bertentangan antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mencetuskan
kemarahan di seluruh negara.
“Adakah KPN boleh mengabaikan perintah mahkamah? Jawapannya
senang sahaja – tidak. Jika beliau tidak pasti apa tindakan yang perlu
diambil, beliau perlu mendapatkan nasihat Peguam Negara.
“Maka saya mendesak Khalid agar tidak menangguhkan pelaksanaan waran tangkapan (terhadap Mohd Ridzuan).
“Beliau perlu membuat perkara yang betul selaku anggota
polis. Beliau perlu mengambil jalan yang benar, bukan apa yang dikatakan
sebagai ‘jalan tengah’,” kata Kulasegara yang juga Naib Presiden DAP.
Pada 24 Jun lalu, Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani
Abdullah Sani berkata, Khalid mengarahkan polis mematuhi arahan Mahkamah
Tinggi Ipoh untuk mengesan Mohd Ridzuan dan seterusnya memulangkan anak
bongsu mereka, Prasana Diksa kepada Indira.
Namun, Khalid semalam menegaskan polis tidak akan
melaksanakan perintah mahkamah itu, sebaliknya hanya mengarahkan polis
Perak untuk mengesan Mohd Ridzuan dan memastikan keselamatan Prasana.
Dalam satu kenyataan lain, Kulasegaran menggesa polis
meluaskan lokasi mengesan Mohd Ridzuan Abdullah, memandangkan maklumat
menyatakan Ridzuan bersembunyi di Kota Bharu, Kelantan.
“Ketua Polis Daerah Ipoh Sum Ching Keong menerangkan bahawa
usaha telah diambil untuk mengesannya. Dalam tiga hari ini, polis telah
ke pelbagai lokasi, termasuk rumah ibu, abang, kawan dan beberapa lagi.
“Kami tekankan kepada beliau (Sum), tak guna hanya mencari
di sekitar Ipoh kerana menurut sumber kami, Ridzuan sedang bersembunyi
di Kota Bharu. Peguamnya sendiri mengesahkan maklumat itu.
“Kami juga meminta polis turut mencari di kawasan sempadan,
kerana Ridzuan diketahui kerap ke Thailand sebelum ini. Kami akan ke
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertemu pegawai siasatan yang berkaitan isu
ini,” katanya lagi.
Kes ini semakin rumit apabila KPN dan Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi saling mengelak dan menolak tanggungjawab
menyelesaikan kes yang telah berlanjutan selama kira-kira lima tahun
ini.
Cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini
agar kes diselesaikan di Mahkamah Persekutuan pula dilihat sebagai
dolak-dalik semata-mata memandangkan keputusan sudah pun diperolehi
apabila Mahkamah Tinggi Ipoh menyerahkan hak penjagaan keapada M Indira.
– Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan