Oleh Fiza Abd Halim
KUALA LUMPUR : Kerajaan tetap mengikis duit rakyat walaupun
cukai taksiran dinaik 10 peratus pada tahun ini, kata Ahli Parlimen
Batu, Tian Chua.
Katanya, kenaikan yang diumum Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri
Tengku Adnan Mansor itu membuktikan kerajaan tidak mengambil kira
kesengsaraan rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup.
Beliau percaya jumlah kenaikan bukan hanya 10 peratus tetapi lebih
daripada itu ekoran kenyataan bolak balik Menteri sebelum ini.
“Konon
naik 10 peratus, padahal lebih tinggi. Kenyataan Menteri sebelum ini
tak konsisten, macamana kita nak percaya cukai ini dihadkan hanya 10
peratus kenaikan.
“Berapapun jumlah kenaikan, rakyat masih terbeban, duit mereka tetap dikikis oleh kerajaan,” kata Tian.
“Kerajaan juga tak pernah beri jaminan berhubung perkara ini. Rakyat
tak akan hidup senang, pelbagai cukai taksiran akan dikenakan, puncanya
kerana kerajaan tak ada formula untuk kurangkan beban rakyat,” kata Tian
lagi ketika dihubungi.
Adnan kelmarin mengumumkan kadar cukai taksiran akan dihadkan kepada
10 peratus bagi perumahan dan 25 peratus bagi hartanah komersil, malah
katanya kerajaan juga tiada jaminan bahawa cukai tersebut tidak
dinaikkan pada tahun hadapan.
Mengulas lanjut, Tian yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata,
rakyat juga yakin kadar yang diumumkan itu adalah muslihat kerajaan.
“Kerajaan tiada asas untuk naikkan cukai tersebut, ini sebenarnya
muslihat kerajaan. Umum tahu negara kita mengalami kemelesetan ekonomi
yang teruk, tak mustahil cukai tersebut adalah inisiatif kerajaan untuk
bayar hutang negara.
“Jadi tak payahlah nak terus tipu rakyat kononnya cukai itu hanya dihadkan kepada 10 peratus sahaja,” kata Tian.
Terdahulu, lebih 40,000 petisyen bantahan kenaikan cukai taksiran
dikemukakan warga kota kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada
16 Disember lalu.
Pakatan Rakyat konsisten mengecam tindakan DBKL menaikkan kadar
taksiran dan cukai hartanah sehingga 267 peratus, sepertimana mula
diumum pada November lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan