Oleh Rohami Shafie
BUMI Malaysia tidak pernah sunyi dengan isu-isu panas. Kadangkala
isu-isu ini pelik tetapi benar-benar berlaku.
Tidak kira waktu meskipun
tatkala penduduk dunia sedang mengalami demam Piala
Dunia dan dengan kedatangan fenomena El Nino yang menghangatkan lagi
muka bumi Malaysia ini.
Akibat tangan-tangan manusia yang mencemari
suasana nyaman dan damai Malaysia, isu-isu panas ini seolah-olah tidak
ada titik noktahnya.
Dimulai dengan isu kebocoran dan ketirisan di sana-sini melibatkan
kisah penyeludupan diesel ke negara-negara jiran, disusuli pula isu
penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI). Bayangkan penyeludupan
manusia boleh berlaku walhal 'barang' yang diseludup itu sukar untuk
disembunyikan berbanding diesel.
Sekiranya tidak berlaku kemalangan yang melibatkan warga negara
Myanmar tempoh hari, rasanya kisah ini tidak begitu hangat diperkatakan
oleh orang ramai.
Selepas kemalangan itu berlaku, tragedi tongkang karam di perairan
Sepang dan Air Hitam, Pulau Carey membongkar kisah penyeludupan manusia
yang nampaknya amat mudah berlaku di negara kita. Malang sekali kerana
akhirnya imej negara juga yang terpalit akibat kisah-kisah sebegini.
Kisah penculikan di Sabah yang nampaknya tiada penyelesaian kukuh
membangkitkan satu lagi situasi panas kepada imej pelancongan negara.
Dikhabarkan bahawa dalangnya PATI. Pelik kerana acap kali berlaku tetapi
itulah kenyataannya.
Mungkinkah kerana para pemimpin terlalu sibuk 'bertelagah' berebut
kuasa dan berpolitik sepanjang masa sampaikan isu-isu besar negara
dikesampingkan? Tidakkah sepatutnya isu-isu yang melibatkan keselamatan
negara, semua pemimpin politik yang dipilih oleh rakyat bersatu untuk
menjaga negara? Usah hanya mendengar penasihat-penasihat yang
mendendangkan kisah-kisah khayalan yang indah-indah belaka.
Ambillah iktibar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
semasa Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159. Pemimpin perlu
menyempurnakan ikrar Amirul Mukminin dengan menjaga kebajikan seluruh
orang yang dipimpin. Bukannya hanya menjaga kebajikan segelintir
golongan yang rapat dengan pemimpin.
Begitu juga, jangan sesekali hanya bertindak membantu segelintir
golongan hanya kerana ingin menjaga periuk nasi sendiri sebagai
pemimpin. Walhal, ramai lagi orang yang dipimpin lebih memerlukan
bantuan pemimpin. Lebih ramai golongan yang lemah seperti orang kelainan
upaya (OKU) yang memerlukan bantuan seperti memudahkan mereka ini
berurusan di semua kaunter sektor awam mahupun swasta.
Tetapi adakah perkara ini cuba diselesaikan secara menyeluruh
berbanding mempolemikkan semua isu sehingga menjadi isu panas demi
kepentingan diri sendiri?
Usahlah semua perkara ingin digunakan sebagai peluang politik untuk
mendapatkan perbatuan politik yang lebih baik. Banyak lagi isu rakyat
yang perlu ditangani dengan kadar segera. Misalnya, dalam kita menuju ke
arah negara maju, apakah kita mudah terlupa sahsiah dan akhlak juga
cukup penting. Dalam kita terlalu taksub dengan ranking, adakah kita
mudah terlupa dengan nasib rakyat kita sendiri?
Apalah gunanya kita menjadi sebuah negara maju yang hebat dengan
bangunannya dan gah dengan kekayaannya tetapi itu hanya sekadar luaran.
Sahsiah rakyat semakin mundur. Akhlak semakin dipinggirkan. Kita pula
terlebih barat berbanding orang barat itu sendiri. Adakah ini yang kita
mahukan sebagai penduduk bagi sebuah negara yang maju?
Pelik tapi itulah kenyataannya, tanda-tanda 'kemajuan' itu sudah
kelihatan. Lagi pelik apabila golongan majoriti pula yang dilanyak
hak-hak mereka kononnya tiada keadilan, kesaksamaan atau istilah yang
lebih panas lagi kesamarataan!
Walhal terdapat seribu satu bukti bahawa golongan majoriti di
Malaysia melayan sebaik mungkin golongan minoriti. Cuba cabut semua
bangunan komersial di Lembah Klang milik bukan bumiputera, berapa
banyakkah bangunan yang dimiliki oleh golongan bumiputera? Boleh
dibilang dengan jari! Bumiputera, majoriti dari segi penduduk tetapi
dari sudut lain serba-serbi minoriti.
Itu baru secebis bukti sahaja. Belum lagi dinyatakan, jumlah pinjaman
yang diberikan kepada mereka ini berbanding golongan minoriti yang
menguasai ekonomi. Belum juga disebut bilangan akauntan dalam kalangan
mereka berbanding golongan minoriti. Tetapi kenapa masih dipusingkan
fakta seolah-olah ketidakadilan berlaku?
Sebuah institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM)
pun mahu diserang habis-habisan hanya kerana tujuan penubuhan institusi
ini untuk membantu golongan majoriti yang lemah dalam pelbagai bidang.
Di kolej-kolej swasta yang dikuasai oleh sesuatu pihak tidak pula
diperdebatkan. Apa yang tidak adil dengan wujudnya UiTM? Adakah dengan
adanya UiTM, pihak-pihak lain dinafikan hak mereka untuk mendapat
pendidikan tertinggi?
Sekali lagi, usahlah 'memusing' fakta sebenar. Berpijaklah pada
realiti bahawa model pembangunan yang dilaksanakan selama ini tidak
menindas mana-mana pihak. Kalau tidak, mana mungkin anak-anak orang
miskin seperti penoreh getah dan nelayan boleh menjadi pegawai tertinggi
dalam sektor awam dan swasta. Belum lagi diambil kira ada di antara
mereka menjadi jutawan dan usahawan yang berjaya.
Isu panas melibatkan kaum sering diperdebatkan seolah-olah tiada
langsung keadilan di muka bumi Malaysia walhal yang peliknya mereka
jugalah yang mendapat nikmat yang cukup besar sampaikan harta kekayaan
boleh diwarisi untuk tujuh keturunan!
Menjelang bulan Ramadan ini, diharapkan isu-isu panas ini
'disejukkan', manakala umat Islam Malaysia berusaha untuk mengeratkan
hubungan persaudaraan tanpa mempedulikan latar belakang politik
masing-masing. Terlalu banyak percakaran melemahkan kekuatan ummah dan
ini akan diambil kesempatan oleh pihak lain.
Buktinya, tahun lalu, terdapat isu panas yang sengaja diciptakan
semasa Ramadan membangkitkan kemarahan umat Islam Malaysia. Majoriti
rakyat mahukan kehidupan aman dan damai. Usahlah menjadi seperti negara
Asia Barat yang pada awalnya gembira dengan 'bantuan' barat kononnya
menegakkan demokrasi tetapi akhirnya berperang dan berbunuh sesama
sendiri. Negara barat hanya lepas tangan.
Tidakkah kita mendapat pengajaran yang cukup besar daripada apa yang
berlaku di negara-negara berkenaan. Atau kita masih selesa dengan
kemewahan yang dikecapi di negara kita sehingga kita lupa bahawa
kemewahan ini boleh pergi selama-lamanya tanpa dimaklumkan terlebih
dahulu.
Bersyukurlah atas kemewahan yang diberikan oleh Allah SWT. Semoga
Ramadan yang bakal tiba beberapa hari lagi memadamkan api permusuhan
sesama Islam dan menghilangkan 'kepanasan' yang melanda negara dengan
memberi keinsafan kepada kita dalam menghayati keperitan orang lain.
* PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat
Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara
Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan