HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Jun 2014

Weng San: ‘Jawab persoalan dahulu sebelum bina lebuhraya’

 
Pembinaan lebuhraya yang lebih banyak secara tidak langsung akan mendorong orang ramai untuk terus bergantung kepada kenderaan peribadi dalam kehidupan harian mereka
Lau Weng San

PETALING JAYA: ADUN
Kampung Tunku, Lau Weng San mempersoalkan tindakan pihak Kerajaan Persekutuan yang bercadang untuk membina sekurang-kurangnya sepuluh buah projek yang melibatkan pengangkutan dalam masa lima tahun yang akan datang.

Menurutnya beberapa persoalan yang timbul seperti, adakah pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah atau akan menjalankan kajian yang lebih menyeluruh sebelum membuat pernyataan bahawa adanya keperluan membina lebih banyak lebuhraya di Lembah Klang.

“Jika benar, bagaimanakah kajian ini telah atau akan dilaksanakan serta bagaimanakah Kerajaan Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor boleh berpartisipasi dalam kajian ini?” soalnya.

Selain tu, Weng San ingin mengetahui adakah kajian yang sama ini melibatkan Jabatan Kerja Raya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB).
“Ini adalah supaya jabatan-jabatan ini boleh memberi input dalam aspek pengangkutan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi, memandangkan cadangan pembinaan lebuhraya-lebuhraya ini telahpun mengambil kira aspek pengangkutan awam, bolehlah laporan-laporan berkenaan dibentangkan kepada orang ramai.

“Siapakah juru perunding trafik yang membantu LLM menyediakan laporan-laporan ini dan bagaimanakah juru perunding trafik ini dilantik serta apakah ‘jadual waktu’ LLM dalam membina kesemua lebuhraya yang dicadangkan?,” soalnya

Tegasnya, rakyat negeri Selangor khususnya rakyat Petaling Jaya perlu diyakinkan bahawa kesemua maklumat sudah lengkap sebelum mereka mengubah pendirian mereka.

Tambah Weng San, biarpun lebuhraya-lebuhraya baru perlu dibina untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang, elemen pengangkutan awam seperti MRT, LRT, BRT dan lain-lain juga perlu dipertimbangkan.

“Pembinaan lebuhraya yang lebih banyak secara tidak langsung akan mendorong orang ramai untuk terus bergantung kepada kenderaan peribadi dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Sebelum ini pihak Kerajaan Persekutuan bercadang untuk membina sekurang-kurangnya sepuluh buah lagi projek dan sebahagian besar daripada projek ini adalah pembinaan lebuhraya dan selebihnya pembinaan MRT dan LRT di Lembah Klang.

Tiada ulasan: