OLEH DIYANA IBRAHIM
Dua lagi rakyat tempatan ditahan hari ini kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan militan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. – Gambar The Malaysian Insider.
Polis menahan dua lagi rakyat tempatan yang dipercayai terbabit dengan kegiatan militan melalui dua operasi berasingan iaitu 25 Jun di Kuala Kangsar, Perak dan Jumaat lalu di Sandakan, Sabah, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 19 suspek setakat ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sepucuk senapang buatan sendiri dan 433 butir peluru turut dirampas dalam operasi khas 'Counter Terrorism' Cawangan Khas Bukit Aman itu.
Katanya, suspek yang ditahan di Kuala Kangsar yang berusia 46 tahun itu merupakan seorang anggota Rela dan menghasilkan senapang buatan sendiri.
Manakala suspek yang ditahan di Sandakan merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dipercayai antara individu bertanggungjawab membantu anggota militan dari selatan Filipina ke Sandakan pada 11 Jun lalu.
"Anggota Rela itu dipercayai membekalkan peluru kepada gerakan militan bagi latihan menembak di Gunung Arang Para, Kampung Nyior Ketior Kuala Kangsar Disember lalu.
"Tangkapan terbaru ini merupakan susulan daripada operasi khas ke atas anasir militan yang dilancarkan bahagian Counter Terrorism sejak 28 April lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, selain itu polis juga melancarkan serbuan sebuah rumah di Shah Alam yang dipercayai dijadikan rumah perlindungan (safe house) hari ini.
"Safe house itu dipercayai menjadi tempat pertemuan dan transit anasir militan asing dan tempatan," katanya.
Khalid berkata kedua suspek itu ditahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 Akta (747).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan