HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Jun 2014

Bufet Ramadan: Jakim perlu siar senarai halal

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa agar menyiar nama hotel atau penyedia bufet Ramadan yang telah memperolehi sijil halal bagi mengelakkan berlakunya penipuan terhadap umat Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Umar ketika menghubungi Harakahdaily berkata, penyenaraian itu penting bagi memberi kemudahan kepada umat Islam untuk menentukan tahap kebersihan makanan yang mereka sediakan.

"Kita mahu jaminan dari Jakim terhadap hotel-hotel atau restoran besar yang menawarkan bufet Ramadan dari segi status halalnya.

"Jakim perlu mengeluarkan senarai hotel-hotel yang telah diakui halal dan kita tidak mahu tertipu dengan sijil halal palsu yang digunakan oleh pengusaha-pengusaha hotel atau restoran besar yang ingin mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan ini," jelasnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut meminta agar Jakim menyenaraikan kesemua hotel dan restoran yang memohon sijil halal yang telah ditolak permohonannya.

"Kita juga mahu tahu berapa banyakkah hotel atau restoran yang telah memohon sijil halal tetapi telah ditolak permohonannya, Jakim kena keluarkan senarainya.

"Apabila senarai itu dikeluarkan mudah untuk kita membuat rujukan dengan lebih tepat," sambung beliau lagi.

Mahfuz turut meminta agar kerajaan membuat pemantauan dan menghadkan iklan-iklan bufer ramadan yang keterlaluan harganya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran atas kesempatan yang diambil oleh pihak pengusaha hotel mahupun restoran.

Tiada ulasan: