MALAYSIAKINI
Susulan dakwaan penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan,
bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membidas orang Melayu yang
didakwanya sanggup membunuh diri dan umat Islam lain kerana perbezaan
politik atau ideologi demi menuju syurga.
Dalam tulisan blognya hari ini, tokoh politik itu berkata umat Islam
belum mendengar ulama Malaysia memberi pendapat atau membuat fatwa
berhubung perbuatan seumpama itu.
"Jika pendapat berkenaan bunuh diri, bunuh saudara seagama akan dapat
balasan syurga, mungkin ramai lagi orang Melayu yang akan melilit bom di
badan dan meletupkannya supaya dapat membunuh ramai orang Islam lain
yang tidak dikenali dan tidak bermusuh dengan mereka," katanya.
Beliau juga cuba mencari seruan dalam Al-Quran yang menyeru membunuh
diri atau orang Islam lain tetapi beliau tidak menjumpai firman Allah
yang menyuruh meningkatkan permusuhan dengan memihak mana-mana pihak.
"Al-Quran menyuruh kita damaikan antara dua orang Islam jika mereka
bermusuh. Jika mana-mana pihak menolak kedamaian barulah boleh pihak
ketiga memihak kepada pihak yang menerima kedamaian.
"Sesungguhnya Allah berkali-kali menyatakan tidak suka mereka yang mencetuskan huru-hara," katanya.
Beliau belum pernah menjumpai seruan supaya bermusuh sesama Islam,
syahid dengan membunuh diri atau membunuh orang Islam lain melalui sabda
Nabi Muhammad SAW.
"Mungkin ada hadis yang menyuruh kita bermusuh sesama Islam. Tetapi saya
belum jumpa... Saya cuma ingin tahu pendapat ulama di Malaysia
berkenaan syurga yang menanti mereka sebagai pejuang Islam ini,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan