SHAH ALAM: Selepas menunggu dua bulan bagi mendapatkan kelulusan
pertukaran nama dan perlembagaan Parti Generasi Baru kepada Parti Bebas
Rasuah, bekas Presidennya, Datuk Ezam Mohd Nor meninggalkan parti
berkenaan.
Ezam menerusi satu kenyataan berkata, beliau telah memaklumkan perkara
itu kepada Setiausaha Agung Parti Generasi Baru, S Gobi Krishnan untuk
tidak melanjutkan cita-citanya kerana Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak
memberi sebarang indikasi positif terhadap penukaran tersebut.
"Hasrat dan cita-cita untuk melihatkan wujudnya sebuah parti politik
satu objektif (single objective party) di negara ini tidak kesampaian.
Mungkin pentadbiran kerajaan hari ini belum selesa dengan penubuhan
sebuah parti khusus melawan rasuah wujud dan beroperasi di negara ini.
"Walaupun di beberapa negara maju dan membangun parti politik satu
objektif lain dan khusus melawan rasuah adalah sesuatu yang tidak
mustahil dan berlaku. Mungkin pentadbiran kerajaan baharu selepas
tumbangnya kerajaaan kleptokrasi ini akan membenarkan penubuhan Parti
Bebas Rasuah," katanya.
Katanya, beliau akan terus berjuang dengan tumpuan khusus melawan rasuah melalui badan bukan kerajaan (NGO) Hisbah.
"Pertubuhan Hisbah adalah sebuah pertubuhan yang terdaftar secara sah di Malaysia sejak 2015 dan di Indonesia sejak 2013.
"Hisbah Malaysia sedang dalam draf akhir persiapan edisi Malaysia buku
Islam dan Rasuah dengan tumpuan khusus kepada persoalan kleptokrasi
ataupun Al Ghulul di dalam Islam selain persoalan risywah ( rasuah)
didalam Islam," ujarnya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada kepimpinan Parti Generasi
Baru yang telah memberi ruang kepadanya mengetuai usaha mewujudkan
sebuah parti bebas rasuah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan