HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Julai 2017

Hutang belum berbayar, pemilik syarikat balak iringi TMB Kelantan ke China

MALAYSIA DATELINE

Nik Amar Abdullah


Program lawatan timbalan menteri besar Kelantan dan 20 anggota rombongan ke Nanning, Wilayah Guangxi, Cina sebaik sidang Dun Kelantan berakhir 12 Julai lalu menarik perhatian ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa kerana ia membabitkan dua pemilik syarikat konsesi balak yang masih berhutang dengan Kompleks Perkayuan Berhad (KPK).

Lebih menarik perhatian, lawatan itu disertai ahli Lembaga Pengarah KPK dan hampir semua staf KPK, dedah Husam dalam tulisan terbaru di blognya.

"Penerbangan mereka seawal jam 8 pagi, 13 Julai, menaiki pesawat AK 6431 dari Kota Bharu dan seterusnya pesawat AirAsia AK 168, berlepas jam 1.10 tengahari, hari yang sama.

"Lawatan rasmi satu hari mereka di Nannning berlangsung pada 14 Julai. Satu hari sahaja -  dengan 21 anggota rombongan! Pas Kelantan memang hebat!" tulis Husam sinis.

Husam menambah, pada 15 Julai rombongan timbalan menteri besar itu menaiki kereta api laju memakan masa 3 jam 20 minit, menuju Guangzhou dan menginap di Hotel Canton, di tengah pusat perdagangan Guangzhou.

Mereka kemudiannya bersiar-siar keesokan harinya kerana lawatan rasmi telah tamat dan bertolak pulang pada 17 Julai, jam 12.35 tengah hari dengan pesawat CZ 3047.

"Ketika saya membangkitkan isu lawatan ini di DUN pada 13 Julai, YB Adun Pulai Chondong mengiyakan tetapi enggan memberikan senarai anggota rombongan 'lawatan kerja sambil makan angin' ini.

"Terdapat isteri-isteri pembesar ikut serta, mungkin dibayar secara persendirian, agak saya untuk bersangka baik," ujarnya.

Husam bagaimanapun mempertikaikan penyertaan dua pemilik syarikat konsesi pembalakan Roshaimi Ent. (RE) dalam lawatan tersebut sedangkan laporan audit dalam SUK ke atas KPK menyebut RE gagal membayar sejumlah besar bayaran kepada KPK atas Kompartmen 42 yang diberikan oleh KPK kepada syarikat tersebut.

Kompartmen 42 adalah kawasan hutan dara dengan keluasan 292 hektar dan diberikan kepada Roshaimi Ent hanya dengan harga RM 1,800 seekar.

Ia diluluskan oleh KPK kepada RE pada 1 Disember 2014 dan terus disahkan dipersetujui oleh RE keesokan harinya.

Lebih pelik lagi, ujar Husam semua bayaran tribute dan premium telah dibayar sebagai pendahuluan oleh KPK.

"Satu tanda murah hati yang menarik. Bayaran balik sejumlah RM 582,572 pun belum diterima," ujar beliau.

Menurut Husam, kompartmen hutan dara itu pada asalnya dicadang diserahkan kepada syarikat lain dikenali sebagai Souncern tetapi diberikan kepada RE tanpa tender terbuka dan sebarang ikatan perjanjian.

Beliau turut memetik laporan audit dalam SUK yang antara lain menyebut KPK gagal menguruskan Syarikat Roshaimi Ent apabila gagal memungut sepenuhnya bayaran yang sepatutnya, dan ini bertambah sulit apabila tiada suatu perjanjian atau kontrak termetrai antara RE dan KPK bagi Kompartmen 42.
"Ketika RE mendapat layanan istimewa oleh KPK bagi Kompartmen 42 dan bayaran penuh belum dibuat oleh RE, dua orang pemilik  Roshaimi Ent mengiringi rombongan TMB-KPK ke Cina itu.
"Kenapa RE ikut serta? Kenapa diizin ikut serta sebelum hutang dibayar selepas bertahun-tahun?

"Apa  projek perhutanan yang baru di bawah KPK yang dirancang dengan mereka? Jika tidak ada kepentingan dan keperluan, mengapa mereka ikut bersama? Siapa membiayai lawatan ini?" soal Husam.

Menurut Husam, KPK atau mana-mana pemimpin Kerajaan Kelantan tidak layak untuk berurusan dengan RE bagi projek lain selagi hutang-hutang tertunggak belum dilunaskan.

"KPK adalah milik rakyat Kelantan, bukan  milik dua tiga kerat individu. Namun, setakat ini, cara KPK diuruskan adalah menunjukkan seakan KPK hanya milik dua tiga individu yang bermaharaja lela atas kekayaan hutan KPK. Kerana ketiadaan ketelusan dan ketiadaan tekanan politik yang berkesan," ujarnya.

Tiada ulasan: