Suhu panas Pilihanraya Umum
ke-14 (PRU 14) dilihat semakin hari semakin membahang dengan rakyat
masih lagi diselubungi teka-teki mengenai tarikh pembubaran barisan
semasa kabinet yang seterusnya akan menentukan tarikh PRU14.
Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13)
menyaksikan Barisan Nasional (BN) sekali lagi mendapat mandat untuk
meneruskan pentadbiran di negeri Sabah dengan kemenangan 48 kerusi DUN
berbanding 60 kerusi sedia ada.
Kemenangan ini dilihat indikator penting
dalam menilai penerimaan rakyat Sabah kepada kepimpinan BN walaupun
berlakunya beberapa peristiwa yang menggugat penguasaan BN seperti
perpindahan beberapa pemimpin kanan BN ke barisan pembangkang negeri.
Akibatnya BN kehilangan lebih 12 kerusi DUN pada PRU13, kurang 11 kerusi
berbanding PRU12 pada tahun 2008, dan kehilangan 3 kerusi Parlimen
berbanding 1 pada PRU12.
Pasca PRU13 menyaksikan kerancakan
pendaftaran parti-parti baru di negara ini dengan 22 buah parti baru
diluluskan pendaftaran oleh ROS tidak sampai setahun PRU13 berlangsung.
Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, 4 daripada parti tersebut telah
didaftarkan di Semenanjung Malaysia dan 5 di Sarawak, manakala baki 13
di negeri Sabah.
Perkembangan geo-politik di negeri Sabah
ini turut dibantu oleh kerancakan sentimen tempatan seperti isu hak
negeri, keselamatan, PATI, dan kepincangan kemudahan asas. Usul-usul
inilah yang diperjuangkan oleh kebanyakan parti politik tempatan
sehingga mewujudkan sebuah perikatan di bawah nama United Sabah Alliance
(USA) yang melibatkan Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Maju Sabah (SAPP)
dan Parti Solidariti Tanah Air (STAR). Walaubagaimanapun, PCS akhirnya
mengumumkan keluar daripada USA berikutan masalah kesefahaman antara
kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.
Pertikaian dalaman antara PKR negeri dan
pusat berhubung urusan pentadbiran parti di negeri Sabah akhirnya telah
mengakibatkan DSP Lajim Ukin – Pengerusi PKR negeri meletakkan jawatan
dalam PKR dan menubuhkan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat)
dengan modal yang sama. Sebuah lagi parti!
Dilema 1MDB turut dilihat memainkan
peranan penting dalam perkembangan geo-politik di negeri Sabah yang
menyaksikan penggantungan jawatan DS Shafie Apdal (DSSA) daripada UMNO
dan seterusnya menyaksikan DSSA meletakkan jawatan dalam parti dan
menubuhkan sebuah lagi parti baru yang dinamakan Parti Warisan Sabah
(Warisan). Penubuhan Warisan ini dilihat sebagai sebuah fenomena baru
dalam geo-politik negeri Sabah dengan beberapa ahli daripada BN dan
Pembangkang (i.e DAP dan PKR) memilih untuk keluar parti dan menyokong
DSSA.
KEGILAAN MENDAPATKAN KUASA DAN ANCAMAN TERHADAP RAKYAT
Lambakan parti-parti di negeri Sabah
ini, di satu sisi, akan menyuburkan lagi sebuah persaingan dalam
mengangkat kesedaran politik dan suasana demokrasi di negeri ini.
Walaubagaimanapun, tanpa kita sedari, lambakan parti-parti ini akhirnya
akan melahirkan sebuah ancaman maha besar kepada rakyat di negeri ini
dan pentadbiran negeri khususnya.
Kegilaan mendapatkan kuasa kepimpinan
ini akan mengucar-kacirkan sistem politik di negeri Sabah sekiranya
pemimpin-pemimpin ini berjaya menduduki singgahsana pentadbiran negeri.
Kegilaan ini turut akan menyuburkan dendam di mana pihak yang tidak
menyokong akan tersungkur menjadi mangsa pemimpin yang berjaya merebut
jawatan yang ditawarkan.
Perkara ini bukan isu baru malah telah
berlaku sejak zaman berzaman di negara ini. Hasilnya, rakyat di bawah
merana menderita tanpa bantuan sewajarnya. Ibarat gajah sama gajah
bergaduh pelanduk mati di tengah-tengah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan