shahbudindotcom
Tidak
seperti Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini, sudah beberapa
kali percutian Najib Razak bersama keluarganya menjadi isu dan perbualan
hangat di kalangan masyarakat.
Setelah
penat bekerja, tidak salah pergi bercuti. Bukan saja Perdana Menteri,
bahkan menteri, pemimpin GLC, peneraju korporat dan rakyat biasanya pun,
semualajadinya memang suka bercuti.
Ada
yang bercuti atas peruntukan yang disediakan oleh kerajaan atau tempat
seseorang itu bekerja dan ramai juga yang bercuti dengan wang sendiri
serta beruncit-runcit mengumpul belanja.
Namun,
bercuti bukanlah acara wajib atau mesti ditunaikan dengan semestinya,
tak kira sama ada berlaku ribut, taufan atau gempa bumi yang melanda.
Bercuti tidaklah wajib seperti solat Jumaat atau solat lima waktu dalam
sehari hukumnya.
Bercuti
cumalah pilihan. Boleh dilakukan dan boleh juga tidak dilakukan.
Bercuti tidak semestinya harus pergi ke luar negara, tengok salji, main
golf, bermain dengan kangaroo atau sebagainya.
Duduk dan berehat di rumah, balik kampung atau bercuti di tempat-tempat menarik dalam negara juga adalah bercuti sebenarnya.
Kenapa hanya percutian Najib saja yang selalu menjadi isu?
Kenapa semasa Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi dahulu, topik percutian ini tidak menjadi isu?
Jika diperhati, bercuti adalah acara wajib bagi Najib dan beliau melakukannya sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun.
Biasanya
beliau akan bercuti pada hujung tahun dan pada 2 Syawal iaitu selepas
mengadakan sambutan rumah terbuka di Seri Perdana.
Najib
seolah-olah menetapkan perkara itu sebagai acara wajib baginya. Tidak
kira apa sekali pun berlaku dalam negara, seperti banjir besar di Pantai
Timur pada 2015, baginya cuti tetap cuti.
Begitu
juga dengan tarikh 2 syawal, Najib dan keluarga selalunya akan
"hilang" senyap-senyap sekurang-kurangnya dua minggu selepas bermeriah
mengadakan sambutan Hari Raya.
Tidaklah
salah bercuti, bahkan sebagai Perdana Menteri, bercuti menaiki jet juga
adalah dibenarkan. Tetapi Najib tidak harus menjadikan ia seperti
perkara wajib sebagaimana wajibnya solat Jumaat atau solat lima waktu
dalam sehari.
Dalam
keadaan berlakunya banjir besar atau ketika rakyat tertekan dalam
kehidupan dengan kos sara hidup yang meningkat, harga barang makan
mahal, GST mencengkam dan ikan kembung berharga RM22 sekilo, tak
usahlah pergi bercuti.
Berkorban dan fahamilah sedikit-sebanyak perit dan derita kehidupan rakyat. Bukankah pemimpin perlu memahami rakyat?
Sebelum
1997, Tun Mahathir Mohamad pernah tidak mengambil cuti selama beberapa
tahun untuk menyelesaikan pelbagai perkara dan melaksanakan tugas yang
lebih penting untuk negara.
Hanya
pada Mei 1997, beliau bercuti panjang selama dua bulan sambil melawat
beberapa negara dan ketika itu menyerahkan kepada Anwar Ibrahim untuk
memangku jawatan Perdana Menteri.
Tidak
bolehkah, dengan pelbagai kekalutan dalam negara sekarang ini, Najib
menangguhkan dahulu percutiannya seperti yang pernah dilakukan oleh Tun
Mahathir itu?
Kalau
pun Najib mahu bercuti juga, berkunjunglah ke tempat-tempat menarik di
dalam negara sendiri. Apa kurangnya Pulau Langkawi, Pulau Tioman atau
Pulau Perhentian dengan Bali misalnya?
Seperkara lagi, keburukan Najib ialah selalu "pergi bercuti secara sembunyi-sembunyi macam pencuri mahu keluar rumah sendiri".
Tidak
saja percutiannya ketika banjir besar di Pantai Timur yang kemudian
terdedah beliau bermain golf dengan Barack Obama di Hawaii dan beberapa
kali yang lain dilakukan secara sembunyi-sembunyi, bahkan percutiannya
ke Bali dan Perth baru-baru ini juga dibuat tanpa pengetahuan sesiapa.
Kenapa begitu? Adakah ia ciri-ciri pemimpin wassatiyah?
Kenapa
Najib tidak mencontohi Tun Mahathir dan Tun Abdullah yang tidak
menyembunyikan percutian mereka, bahkan mengalu-ngalukan penyokong serta
kawan-kawan menghantar ke lapangan terbang untuk mengucapkan selamat
jalan?
Lebih-lebih lagi dengan bercuti menggunakan duit kerajaan dan menaiki jet kerajaan, kenapa perlu disembunyikan daripada rakyat?
Dalam
soal percutian ini, Najib tidak saja perlu berkorban dan lebih memahami
rakyat, bukan semata-mata mahukan rakyat memahami gaya hidupnya, bahkan
juga harus lebih telus dan terbuka dalam banyak perkara.
Jika tidak, percutian beliau dan keluarganya akan sentiasa dipertikai sampai bila-bila.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan