HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Jun 2020

Bekas KM Sabah gesa Putrajaya hanya beri dokumen IMM13 kepada pelarian ‘perang’

Yong Teck Lee menunjukkan Akta Pasport dan Akta Imigresen yang membenarkan
individu melarikan diri dari pergolakan di selatan Filipina pada 1970-an dan keturunan
mereka mendapatkan dokumen IMM13.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee mencadangkan hanya individu yang melarikan diri dari pergolakan di selatan Filipina pada 1970-an dan keturunan mereka dibenarkan mendapat dokumen IMM13.

Katanya, pendatang kategori lain di negeri itu yang tidak memiliki pasport, perlu diklasifikasikan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Menurut rekod rasmi, terdapat kira-kira 51,000 pemegang IMM13. Ini ialah individu yang tergolong dalam kategori, barangkali, diberikan pengecualian di bawah Akta Pasport 1966 (Seksyen 4) atau Akta Imigresen 1959/63 (Seksyen 55).

“Semua warga asing lain yang tidak mempunyai pasport sah dikeluarkan negara mereka ialah PATI. Ini perlu merangkumi pemegang Sijil Banci (kira-kira 47,000 orang) dan Kad Burung-burung (kira-kira 39,000 orang),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, Putrajaya bercadang menyeragamkan dokumen pelarian Filipina dan pendatang tanpa kerakyatan.

Beliau mencadangkan IMM13 menggantikan Sijil Banci dan Kad Burung-burung yang dikeluarkan kerajaan negeri serta persekutuan.

Yong berkata, rancangan Hamzah untuk mendaftarkan PATI sebagai warga asing ialah langkah positif kerana ia bermakna mereka masih kekal sebagai warga asing di Sabah, seperti semua dokumen lain, kecuali IMM13, yang akan dikeluarkan kepada pendatang asing akan dihapuskan.

“Matlamat kerajaan sepatutnya menyingkirkan dokumen IMM13 akhirnya ketika pelarian perang memulakan proses kembali ke tanah air mereka.”

Tiada ulasan: