Negara masih dibelenggu rasuah, kerosakan sistem, bankrap idea, masalah integriti, cacamarba politik dan ekonomi tak menentu
BANGI – Ahli politik Melayu yang beriman dan jujur dengan perjuangan agama serta bangsa, perlu tampil ke barisan hadapan bagi mengambil tanggungjawab menyelamatkan negara dari tangan pengkhianat.
Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, semangat perjuangan membawa negara ke landasan yang asal berdasarkan perjuangan pejuang-pejuang terdahulu mesti disemarakkan semula.
“Kita perlu menyelamatkan negara dari kemusnahan akibat dari dasar-dasar yang salah, tingkah laku yang sumbang, pengkhianatan dan pembelotan yang telah membawa akibat buruk yang kita tanggung pada hari ini.
“Marilah kita berjanji setia memastikan bahawa masa depan kita ditentukan oleh kita sendiri. Bebaskan diri dari segala belenggu yang membatasi kehendak kita,” katanya dalam ucapan kemerdekaan yang disiarkan TV Pertiwi hari ini.
Pada ucapan berkenaan juga, pemimpin gerakan Islam itu meluahkan rasa syukur apabila negara akan menyambut kemerdekaan yang ke-63.
“Alhamdulillah sudah 63 tahun kita mencapai kemerdekaan. Umat Melayu telah melalui tempoh perjuangan yang panjang demi membina negara bangsa yang merdeka. Dunia berubah dan kita turut mengecapi perubahan kemajuan dunia.
“Namun kita tidak mampu menyembunyikan kekecewaan. Negara yang kita bina dan perjuangkan kini hampir terlepas dari tangan kita.
“Ekonomi, politik, identiti, budaya, masa depan kita hampir terlepas dari tangan kita. Kita mampu menjerit dan meraung tetapi tidak banyak yang kita mampu lakukan. Kehendak kita telah terbelenggu dalam segenap segi hasil perbuatan sendiri,” katanya dipercayai merujuk kepada pemerintahan PH sebelum ini.
Ustaz Abdullah berkata, meskipun keadaan sekarang sudah kembali normal apabila negara berjaya diselamatkan setelah 22 bulan di bawah pemerintahan DAP, namun tidak ada yang pasti mengenai masa depan.
“Sistem negara masih dibelenggu rasuah, kerosakan sistem, kebankrapan idea dan nilai kemusnahan integriti, polarisasi kaum yang menajam, cacamarba politik, ketidaktentuan ekonomi dan ancaman keselamatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan