HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Ogos 2020

Tidak ada masalah SPRM siasat asalkan adil dan profesional – Guan Eng

Norlaile Abd Rahman
MGF10012020_PERHIMPUNAN-BULANAN-MOF20200110_0027-681x454
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan peratusan projek rundingan terus di bawah kerajaan Pakatan Harapan hanyalah mewakili 1.4 peratus sahaja daripada nilai keseluruhan perolehan selama 22 bulan pemerintahannya.

Jelasnya, daripada keseluruhan perolehan sebanyak RM477.4 bilion hanya RM6.61 bilion sahaja diberikan kepada projek rundingan terus.

“Sememangnya Kementerian Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka selaras dengan Manifesto Pilihan Raya Umum 2018 PH yang menyatakan dalam Janji 23, “Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar”.

“Dalam kata lain, tender terbuka adalah asas perolehan tetapi dalam keadaan perlu, pengecualian boleh diberikan kepada projek rundingan terus.

“Itulah sebabnya peratusan projek runding terus sebanyak RM6.6 bilion ini hanya 1.4 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan di bawah PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng, projek rundingan terus dibenarkan mengikut beberapa situasi seperti banjir atau wabak Covid-19; keperluan untuk menyegerakan kerja pemulihan dan penyelamatan atau membeli sesuatu produk khusus seperti Microsoft Word Office di mana tender terbuka tidak boleh dijalankan.

Dengan itu, beliau meminta kerajaan menggunakan rundingan terus bagi memulihkan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan segera.

Artikel berkaitan: SPRM kaji sama ada wujud rasuah dalam pemberian 101 projek rundingan terus

Guan Eng berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjalankan kajian menyeluruh ke atas 101 projek rundingan terus yang didedahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Isnin lalu asalkan ianya dilakukan secara adil dan profesional.

“Lagipun kajian SPRM tidak harus diperalatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghalang prinsip akauntabiliti dan ketelusan, dengan menggunakan kajian SPRM sebagai alasan untuk enggan mendedahkan senarai penuh projek dan syarikat penerimanya,” katanya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: